Kekurangan ubat tidak berlaku di seluruh negara, di lokasi tertentu sahaja - Utusan Malaysia

Kekurangan ubat tidak berlaku di seluruh negara, di lokasi tertentu sahaja

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya membabitkan beberapa lokasi di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kekurangan itu juga meliputi beberapa jenis ubat-ubatan tertentu.

Selain itu menurutnya, masalah tersebut tidak melibatkan fasiliti kesihatan kerajaan.

Katanya, pada masa ini, bekalan ubat-ubatan secara keseluruhannya masih mencukupi di seluruh negara.

“Kekurangan ubat-ubatan itu berlaku ekoran permintaan tinggi di tempat-tempat tertentu susulan penularan Covid-19 varian Omicron dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.

“Sebab itu banyak ubat dikatakan kurang, bukan tak ada, tapi dikatakan kurang ini adalah ubat untuk penyakit-penyakit biasa macam selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan Jepun melalui bantuan Geran Jepun Untuk Program Pembangunan Ekonomi dan Sosial 2020 Untuk Malaysia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Turut hadiri, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Jumlah keseluruhan bantuan tersebut berjumlah RM19.3 juta yang diuruskan Japan International Cooperation System (JICS).

Khairy berkata, kementeriannya sedang melakukan semakan dengan pengeluar dan pengimport ubat-ubatan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekalan ubat-ubatan, selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik-klinik swasta.

“Kita akan kerjasama dengan pengeluar-pengeluar syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi ubat alternatif ataupun kalau sekiranya perlu kita import ubat daripada negara yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya