Kejatuhan harga sawit dipengaruhi pembukaan semula eksport Indonesia

Kejatuhan harga BTS sawit negara dipengaruhi pembukaan semula eksport Indonesia

WEE Jeck Seng dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kiosk dan Pelancaran Manual Pembinaan Kiosk Daripada Wood Plastic Composite (WPC) di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kejatuhan harga buah tandan segar (BTS) sawit dalam negara sejak kebelakangan ini tidak dinafikan antaranya berpunca daripada tindakan kerajaan Indonesia yang melaksanakan penarikan semula larangan eksport minyak sawit.

Faktor sudah tentu berlaku kerana harga sawit di pasaran antarabangsa banyak bergantung kepada permintaan dan penawaran apatah lagi Indonesia merupakan pengeluar sawit dalam negara.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, peningkatan harga BTS sehingga mencecah RM1,800 bagi satu metrik tan sebelum ini berikutan pasaran antarabangsa beralih ke negara bagi mendapatkan bekalan.

“Seperti yang saya katakan, permintaan dan penawaran menentukan harga di pasaran dan memberi kesan harga di lapangan jadi tidaklah selalu berada di paras tertinggi, ada turun dan naik.

“Apatah lagi melihat polisi-polisi contohnya di Indonesia yang menyekat eksport (sawit) mereka, kalau sekat eksport maknanya kebanyakan pasaran beralih ke Malaysia. Tetapi sekarang Indonesia buka semula eksport mereka.

“Inilah realiti yang berlaku, bagaimanapun, kerajaan akan terus berusaha untuk menstabilkan harga, itu adalah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kiosk dan Pelancaran Manual Pembinaan Kiosk Daripada Wood Plastic Composite (WPC) di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, seramai 112,638 peneroka Felda seluruh negara mula resah dan ‘tidak senang’ duduk berikutan aliran harga BTS sawit jatuh sejak kebelakangan ini.

Ahli Jawatankuasa Kilang Sawit Felda Jengka 21, Razak Daud berkata, lebih membimbangkan, harga BTS itu turun setiap hari sepanjang bulan ini berbanding kadar turun naik harga secara mingguan sebelum ini.

Beliau berkata, pada 1 hingga 14 Jun lalu, harga BTS adalah RM1,400 satu metrik tan, 15 hingga 20 Jun (RM1,170) dan 21 hingga 22 Jun terus turun kepada RM1,000 satu metrik tan.

Sementara itu, Jeck Seng berkata, kerajaan bersedia untuk terus meningkatkan pengeluaran ketika terdapat jangkaan penurunan hasil komoditi termasuk sawit ekoran kehadiran cuaca panas.

“Memang banyak faktor yang mengakibatkan hasil kurang, termasuk juga penggunaan baja dan tenaga kerja, ini biasa dalam sektor pertanian. Tetapi kita mahu pastikan untuk meningkatkan produktiviti seterusnya hasil juga lebih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya