Kawalan sempadan kesan cacar monyet - Utusan Malaysia

Kawalan sempadan kesan cacar monyet

PETUGAS kesihatan di sempadan dilatih mengesan kes cacar monyet dalam kalangan pengembara yang masuk ke negara ini bagi mengelak penularan. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Petugas kesihatan di pintu sempadan negeri ini dilatih dalam mengesan kes cacar monyet dalam kalangan pengembara yang masuk ke negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, mereka sentiasa mengikuti garis panduan bagi memastikan ia dilaksanakan secara optimum seterusnya mengelak penularan jangkitan kepada orang awam.

“Sehingga kini, masih tiada lagi kes cacar monyet yang dilaporkan di negeri ini, namun kita sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri terma­suk membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air. Gunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol apabila air dan sabun tidak tersedia.

“Selain itu, elakkan diri daripada bersentuhan dengan haiwan seperti tikus, marsupial dan primat yang sakit atau mati dan berpotensi membawa virus orthopox. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan atau mengendalikan daging haiwan liar,” katanya.

Baru-baru ini, Thailand dilaporkan merekodkan kes pertama cacar monyet apabila seorang penumpang dalam perjalanan dari Eropah ke Australia yang transit di lapangan terbang antarabangsa di Bangkok selama kira-kira dua jam, dikesan mengalami gejala.

Menurut Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, individu yang positif cacar monyet itu mempunyai lepuh di muka dan badan dan mempunyai sejarah hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti dalam tempoh 21 hari lalu, dan mengembara dari negara di mana terdapat jangkitan penyakit itu.

Sementara itu, Sirajuddin meminta orang ramai melaporkan kepada pengamal perubatan sekiranya mengalami gejala dan tanda jangkitan cacar monyet semasa dalam perjalanan atau apabila pulang ke tanah air.

“Lebih-lebih lagi bagi pengembara yang hendak ke luar negara terutama negara endemik monkeypox dan negara yang melaporkan kes dalam kalangan manusia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN