PETALING JAYA: Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi yang kini sedang dirasai di seluruh dunia.
Ketika ini negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) mencatatkan inflasi sebanyak 8.6 peratus, United Kingdom (UK) sembilan peratus, negara-negara Eropah sekitar lapan peratus, Thailand (7.1%), Filipina (5.4%), Korea Selatan (5.4%), Indonesia (3.6%), Jepun (2.5%), China (2.1%) berbanding Malaysia pada 2.8 peratus.
UK merekodkan kadar inflasi terburuk dalam tempoh 40 tahun manakala Jepun dalam tempoh tujuh tahun.
Bukan itu sahaja, pasaran saham dan nilai kripto turut merudum, harga barang dan makanan naik, krisis hutang di beberapa negara serta berlaku masalah kekurangan bekalan makanan secara global akibat perang Russia-Ukraine.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kegawatan yang berlaku di luar negara kemungkinan besar akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang sedang berkembang positif ketika ini.
Malah, menurut beliau, jika harga barang dan makanan gagal dikawal, inflasi negara mungkin akan meningkat sehingga lebih 3 peratus.
Berkembang
“Ekonomi negara dijangka berkembang lebih lima peratus tahun ini dan laporan Bank Dunia menunjukkan kita dapat tepis kesan kemelesetan negara luar, tetapi kita tetap perlu kawal import barang dan makanan kerana kosnya akan terus meningkat.
“Kalau gagal kawal harga, inflasi mungkin akan meningkat sehingga tiga peratus. Mungkin jauh beza dengan AS, UK atau Eropah tetapi kalau kegawatan berlaku, ia akan menggendalakan proses pemulihan ekonomi dan tidak mencapai puncak pertumbuhan seperti yang diharapkan. Sebab itu, import perlu dikawal, eksport dan produktiviti perlu ditingkatkan,” katanya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan bantuan tunai langsung kepada golongan miskin selepas menghapuskan subsidi untuk beberapa barangan keperluan termasuk ayam, telur dan minyak masak botol.
Penghapusan subsidi itu yang akan menyebabkan harga barangan meningkat bermula 1 Julai akan memberi kesan langsung kepada pengguna dengan indeks inflasi dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam masa terdekat.
Barjoyai berpendapat, penarikan balik subsidi itu perlu dilakukan termasuklah subsidi petrol, namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati.
“Kerajaan perlu elak beri terlampau banyak subsidi, kita perlu belajar dari pengalaman Sri Lanka yang menjadi negara bankrap. Subsidi petrol juga perlu ditarik balik kerana jumlah subsidi melebihi dua kali ganda, tetapi kalau dibuat sekarang, ia akan beri kesan kepada inflasi, jadi ia perlu dibuat dengan praktikal atau efektif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyarankan kerajaan menilai semula kos projek-projek mega sebagai langkah penjimatan dalam situasi ekonomi dunia yang tidak stabil.- UTUSAN










