KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini dilaporkan kritikal selepas pemeriksaan mendapati tubuhnya tinggi dengan kandungan dadah jenis methampethamine.
Kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira pukul 5 pagi semalam apabila mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan lemah dan muka bertukar biru sebelum membawanya ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk menerima rawatan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan maklumat wanita itu, bapa saudara mangsa telah membawa kanak-kanak tersebut keluar sebelum dihantar pulang dalam keadaan lemah.
Menurutnya, pemerhatian ibunya turut mendapati wajah kanak-kanak itu berubah menjadi warna kebiruan.
“Bimbang dengan keadaan anaknya, wanita tersebut terus membawa kanak-kanak yang sudah kritikal itu ke HSIP untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan di hospital mendapati badan kanak-kanak itu mengandungi dadah jenis methamphetamine. Mangsa yang masih kritikal dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, polis sedang menyiasat sama ada mangsa diberi dadah tersebut secara sengaja atau dadah itu terdedah sebelum dia sendiri mengambilnya.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, polis telah menahan bapa saudara mangsa kira-kira pukul 10 malam semalam di sebuah rumah di Kuala Krai.
“Ujian saringan air kencing mendapati, lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau berkait kes dadah.
“Polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya. – UTUSAN










