LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad sedia mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak memiliki calon lain untuk bertanding di situ.
Bekas Perdana Menteri berkata, sudah ada cadangan yang diberi kepadanya agar beliau terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut akan diadakan pada tahun ini.
Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, Pejuang sudah mempunyai beberapa nama untuk dicalonkan di Langkawi tetapi masih terlalu awal untuk didedahkan.
“Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak beritahu lagi, kalau tak ada (calon sesuai) dan ada orang cadang saya (bertanding), saya akan pertimbangkan,” katanya selepas bertemu pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sini, malam tadi.
Pada Mac lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU15.
Menurut beliau, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda terlibat dalam politik serta pilihan raya, selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya ketika itu.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga mengakui lebih selesa untuk bertanding mempertahankan Parlimen Jerlun berbanding Langkawi.
Mengulas lanjut mengenai parti itu, Dr. Mahathir berkata, kempen memperkenalkan Pejuang kepada orang ramai berada pada tahap yang baik termasuk melakukan jelajah ke seluruh negara.
Namun, dakwanya, akibat tidak mendapat liputan meluas berikutan Pejuang merupakan parti pembangkang, banyak pihak masih belum mengenali secara terperinci mengenai parti itu.
“Kita sudah lawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi, tetapi tidak ada laporan. Kita ada orang (ahli) banyak daripada orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dahulu.
“Mereka sekarang ini sudah tidak sokong Bersatu, mereka sokong Pejuang,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti berhubung dakwaan menyatakan beliau memintanya membubarkan parti itu.
“Apa bukti dia yang saya kata macam itu. Dia boleh cerita macam-macam, (tetapi) benda kita bercakap (perlu) tunjuk buktilah yang saya kata macam itu,” katanya. – UTUSAN










