khidmat masyarakat

Kaji undang-undang kesalahan kecil dadah, pertimbang laksana khidmat masyarakat

KERATAN UTUSAN MALAYSIA 16 JUN 2022
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan pelaksanaan khidmat masyarakat bagi pesalah jenayah ringan, di sam­ping mengkaji semula hukuman bagi kesalahan-kesalahan kecil membabitkan kecurian dan penyalahgunaan dadah.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana ada antara jenayah dile­takkan di bawah akta dilihat berat sebelah dan tidak relevan dengan revolusi jenayah masa kini.

“Contohnya peruntukan hukuman untuk scammer yang me­nipu duit mangsa hingga jutaan ringgit hanya dituduh di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 walhal kesalahan dilakukan sebenarnya jenayah berat.

“Berbeza pula dengan kes mencuri susu anak atau makanan kerana terdesak demi kelangsungan hidup namun turut dituduh di bawah akta sama. Malah jika di bawah Seksyen 380 bagi kesalahan mencuri, hukumannya lagi berat daripada hukuman terhadap scammer yang hidup mewah hasil wang haram,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain itu, jelas Shahul Hamid, pelaksanaan program khidmat masyarakat juga perlu dipertimbangkan bagi pesalah kesalahan-kesalahan kecil yang dapat membantu mengurangkan beban kerajaan dalam menanggung kos perbelanjaan banduan.

Malah, ujar beliau, program tersebut dilihat dapat membentuk sahsiah diri penagih selain mempersiapkan mereka agar dapat diterima baik masyarakat.

“Daripada mereka duduk sahaja, 10 kali keluar masuk penjara atau pusat serenti sehingga merugikan kerajaan, lebih baik mereka dihantar kerja dengan masyarakat. Selain dapat duit, ia juga secara tidak langsung dapat membantu merawat penagihan dadah.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung dengan situasi malah satu mekanisme khas perlu diwujudkan jika kita ingin melaksanakan program khidmat masyarakat dalam kalangan banduan. Hal ini memerlukan kajian mendalam,” ujar beliau,

Dalam pada itu, menurut Shahul Hamid, masyarakat juga perlu dididik berkaitan undang-undang di negara ini agar tidak memandang ringan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah serta hukuman sedia ada.

“Mengapa jika di negara luar atau Singapura, rakyat negara kita takut hendak langgar undang-undang malah memandu juga di bawah had laju namun jika di sini saman berbakul pun tidak takut langsung,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN