Justin Bieber diserang sindrom Ramsay Hunt, virus boleh kekal dalam badan - Utusan Malaysia

Justin Bieber diserang sindrom Ramsay Hunt, virus boleh kekal dalam badan

JUSTIN Bieber mendedahkan menghidap sindrom Ramsay Hunt. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan penyanyi popular antarabangsa, Justin Bieber yang menderita ‘kelumpuhan muka’ atau sindrom Ramsay Hunt, mengejutkan ramai pihak khususnya peminat artis tersebut.

Perkara itu membuatkan Justin mengumumkan untuk membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya.

Untuk mengetahui apa itu sindrom Ramsay Hunt, Public Health Malaysia (PHM) tampil memberi penerangan mengenai penyakit tersebut.

Menurut PHM, sindrom Ramsay Hunt ialah keadaan neurologi yang disebabkan oleh virus varicella zoster, virus yang sama yang menyebabkan cacar air pada kanak-kanak dan kayap pada orang dewasa.

Jelasnya, virus itu boleh kekal di dalam badan manusia sepanjang hayat dan kembali aktif menyebabkan radang pada saraf.

“Untuk makluman, saraf yang melalui muka anda melalui saluran tulang yang agak sempit, dan apabila ia meradang, ia membengkak dan kehilangan keupayaan untuk berfungsi.

“Penyakit ini boleh mengakibatkan lumpuh pada sebelah muka dan ruam yang menyakitkan dan melepuh.

“Sesetengah pesakit mengalami perubahan dalam pendengaran mereka, mungkin merasakan bunyi lebih kuat pada satu telinga daripada yang lain atau mengalami tinnitus (deringan kronik di telinga),” jelas PHM dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

PHM memberitahu, sakit telinga dan muka biasanya merupakan sebahagian daripada sindrom, dan sesetengah pesakit mungkin mengalami vertigo.

“Hanya kira-kira lima hingga 10 daripada setiap 100,000 orang akan mengalami sindrom Ramsay Hunt setiap tahun. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Sindrom ini secara rasmi dikenali sebagai herpes zoster oticus, nama yang lebih biasa datang daripada pakar neurologi James Ramsay Hunt, yang pertama kali menggambarkan penyakit itu.

“Penyakit Ramsay Hunt mempunyai simptom yang hampir serupa dengan Bell’s palsy, yang juga boleh menyebabkan kelumpuhan muka,” jelasnya.

Tambah PHM, doktor biasanya mendiagnosis sindrom Ramsay Hunt dengan mengenal pasti lepuh kecil yang telah muncul di telinga pesakit.

Katanya, kebanyakan orang yang mempunyai Ramsay Hunt pulih sepenuhnya, walaupun tempoh penyakit itu boleh berbeza-beza, sesetengah orang, ia mengambil masa berminggu-minggu.

“Dalam kes yang jarang berlaku, lumpuh muka atau kehilangan pendengaran boleh kekal. Rawatan untuk Ramsay Hunt biasanya melibatkan pengambilan ubat antivirus.

“Sesetengah pesakit juga mungkin diberi steroid. Terapi fizikal biasanya tidak disyorkan untuk pesakit, tetapi tidak akan memudaratkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya