PORT DICKSON: Jumlah pendaratan ikan di Negeri Sembilan adalah stabil walaupun berlaku sedikit kekurangan bekalan akibat keadaan cuaca yang tidak menentu yang berlaku di negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Kasim Tawe berkata, permintaan tinggi terhadap bekalan ikan ketika musim cuti sekolah juga mempengaruhi pengurangan bekalan ikan ketika ini.
“Permintaan terhadap bekalan ikan tinggi terutama ketika musim cuti sekolah ini. Jabatan Perikanan negeri ingin memaklumkan bahawa pendaratan ikan di negeri ini masih stabil dan cuaca yang tidak menentu dilihat antara faktor bekalan berkurangan sedikit.
“Keadaan cuaca ketika ini juga menyebabkan nelayan kurang ke laut. Antara jenis ikan yang sering didapati di negeri ini adalah siakap, jenahak dan ikan merah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) di Pantai Bagan Pinang, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam.
Sementara itu, Kasim memberitahu, program yang diadakan pihaknya itu berlangsung selama dua hari dan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk membuat dan melabuhkan unjam dan melepaskan ikan siakap di sekitar pantai berkenaan.
Unjam yang dilabuhkan di kawasan ini akan menambah habitat pelbagai spesies ikan sekali gus meningkatkan aktiviti perikanan rekreasi yang menjadi punca pendapatan sampingan kepada ahli myKomuniti Perikanan (myKP) Bagan Pinang.
“Sebanyak 25 ekor ikan siakap seberat lima hingga enam kilogram di bawah jagaan Pusat Ikan Hussain Port Dickson sejak Februari tahun lalu juga dilepaskan semula ke perairan Port Dickson bagi memperkayakan sumber stok perikanan sedia ada,” katanya. – UTUSAN










