KUALA TERENGGANU: Jumlah penagih dadah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Md. Saidin Noor berkata, seramai 12,499 penagih dadah direkodkan pada tahun lalu manakala 12,033 penagih pada 2020.
Katanya, seramai 11,817 orang daripada jumlah keseluruhan penagih pada tahun lalu melibatkan lelaki.
“Walaupun angka penagih dadah menurun dalam tempoh tersebut, jumlah ini masih membimbangkan.
“Pada masa sama, jumlah penagih dadah yang direkodkan pada tahun ini juga masih antara tertinggi di negara ini berdasarkan kepada nisbah jumlah penduduk,” katanya selepas majlis perasmian Majlis Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Md. Saidin memberitahu, pihaknya juga bimbang dengan peningkatan jumlah kakitangan kerajaan yang terjebak dengan penagihan dadah di negeri ini.
Katanya, jumlah kakitangan kerajaan yang terlibat dengan penagihan dadah di negeri ini seramai 85 orang pada tahun lalu berbanding 65 orang pada tahun 2020.
“Kakitangan kerajaan yang terlibat dengan penagihan dadah boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang kerja,” ujarnya. – UTUSAN










