Jualan tiket Shuttle Tebrau ibarat pisang goreng panas

Jualan tiket Shuttle Tebrau ibarat pisang goreng panas

Sebahagian penumpang menggunakan khidmat kereta api ke Singapura untuk bekerja setelah dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19 sempena Majlis Flag-off Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Singapura di Stesen JB Sentral, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Dalam tempoh kurang seminggu, hampir 70,000 tiket bagi perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral ke Stesen Woodlands, Singapura sudah terjual. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tiket bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu telah mula dijual pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut kembali menyambung operasinya bermula hari ini selepas lebih dua tahun dihentikan disebabkan pandemik Covid-19 pada 24 Mac 2020 berikutan penutupan sempadan negara.

“Setakat Jumaat lalu,  sebanyak 68,070 tiket telah dijual dan penjualan tiket lebih awal ini dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka, khususnya pekerja Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.

“Setiap hari ada 31 trip atau perjalanan Shuttle Tebrau yang bermula jam 5 pagi hingga 11.45 malam,  dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia,” katanya selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini hari ini. 

Pelepasan Tren Shuttle itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ka Siong berkata, latihan pengoperasian semula Shuttle Tebrau itu sudah bermula sejak Selasa lalu melibatkan pemeriksaan gerakan gerabak, ciri keselamatan,  sistem penjualan tiket dan operasi penjualan supaya perkhidmatan berkenaan lancar. 

Perkhidmatan itu mampu menampung kapasiti maksimum 320 penumpang bagi setiap perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakannya.

“Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada, iaitu RM5 sehala bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SG$5 dari Woodlands ke JB Sentral,” katanya. 

Dalam pada itu,  Onn Hafiz berkata, pengoperasian semula perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja ke republik itu. 

Katanya,  perkhidmatan tren itu antara pengangkutan pilihan dan popular dalam kalangan penduduk kedua-dua negara sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Ini adalah detik bersejarah buat rakyat Johor. Saya menjangkakan pertambahan pelancong dari Singapura ke Malaysia dengan pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau, sekali gus dapat merancakkan sektor ekonomi negara khususnya negeri ini. 

“Melalui pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terutamanya pada waktu puncak,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN