nasi lemak

Jual 1,000 bungkus ‘Nasi Lemak Janda’ sehari

RAFI AHMED Wasi Ahmad melayan pelanggan yang membeli Nasi Lemak Janda di Taman Malim Jaya, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah warung di Taman Malim Jaya di sini mengambil nama-nama tempat di negeri ini bagi membezakan variasi rasa Nasi Lemak Janda yang menjadi rebutan pelanggan setiap pagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik warung Nasi Lemak Janda, Rafi Ahmed Wasi Ahmad, 44, berkata, nasi lemak yang dijual RM1 sebungkus itu mengambil nama-nama tempat di Melaka seperti Terendak, Peringgit, Limbongan, Malim dan Bachang.

Menurutnya, setiap satu memiliki kelainan tersendiri contohnya Nasi Lemak Bachang menggunakan daun pisang, sambal yang manis dan dihidangkan bersama telur goreng.

“Terdapat juga nasi lemak yang sambalnya pedas serta dimasak dengan pelbagai kaedah seperti kukus dan ditanak sendiri. Pembungkusan pun berbeza kerana ada yang menggunakan daun pisang dan plastik. 

“Saya menjual 1,000 bungkus nasi lemak sehari. Alhamdulillah semuanya habis dijual setiap hari bergantung kepada keadaan. Sebenarnya sarapan ini dihantar oleh para peniaga kecil yang berlainan. 

“Inilah keunikan Nasi Lemak Janda. Sebelum ini pelanggan membeli nasi lemak yang mempunyai rasa sama sahaja, tetapi di sini mereka boleh memilih pelbagai jenis nasi lemak yang menepati cita rasa masing-masing,” katanya ketika ditemui.

Tambah Rafi Ahmed, menu lain yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan adalah teh halia dan susu sarbat.

Katanya, minuman tersebut akan dihidangkan dalam kole atau cawan besi berbanding gelas biasa, namun bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Selain itu terdapat juga Mee Goreng Kona (selekoh) yang ringkas iaitu mee kuning yang digoreng bersama taugeh dan dipadankan dengan sambal. Meskipun ringkas, hidangan ini tetap menjadi pilihan pelanggan sekiranya nasi lemak sudah habis dijual.

“Sesuai dengan moto kami iaitu cepat, sedap dan murah. Pelanggan akan merasai layanan yang pantas dan mesra, menikmati hidangan yang lazat pada harga yang sangat murah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN