Johor pertimbang wujudkan hab makanan ringan usahawan wanita di setiap daerah - Utusan Malaysia

Johor pertimbang wujudkan hab makanan ringan usahawan wanita di setiap daerah

MOHD. Hairi Mad Shah menjawab soalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mewujudkan hab atau pusat makanan ringan oleh usahawan wanita di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, perkara itu bagi mengangkat peranan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) wanita di Johor.

Beliau berkata, pusat makanan ringan ini bakal menjadi penanda aras dan contoh kepada wanita di negeri ini untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dan mewujudkan banyak peluang perniagaan serta pekerjaan kepada masyarakat.

“Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) banyak menyediakan inisiatif dalam pembangunan ekonomi, khusus kepada golongan wanita seperti ibu tunggal dan juga wanita daripada keluarga B40.

“Bagi pusat pengeluaran makanan ringan oleh usahawan wanita, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) masih memberi fokus terhadap program kemahiran dan latihan berterusan sebelum pusat tersebut diwujudkan.

“Jika boleh, kita mahukan hab makanan ringan ini direalisasikan secepat mungkin pada tahun depan. Sekiranya ia melibatkan proses pembangunan, ia akan memakan sedikit masa,” katanya menjawab soalan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BN-Mahkota) berkaitan menjadikan Johor pusat pengeluaran makanan ringan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kewujudan hab makanan ringan di setiap daerah itu disambut baik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing, pelbagai program yang disediakan, antaranya Women’s Income Generating Skills Project (WINGS), Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) dan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).

“Kita melihat usaha ini cukup penting dalam membantu golongan usahawan wanita, seterusnya memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya. 

Mohd. Hairi berkata, menerusi rekod sistem Pusat Data Usahawan (Padu), seramai 5,099 usahawan wanita telah berdaftar daripada jumlah keseluruhan 11,583 usahawan.

Daripada jumlah 11,583 usahawan itu, seramai 6,799 usahawan menceburi industri makanan termasuk pembuatan dan pemprosesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya