KOTA KINABALU: Selepas seminggu mengunci mulut dengan tuduhan dilemparkan susulan tindakan keluar Parti Warisan (Warisan), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal akhirnya tampil memberi penjelasan.
Bekas Naib Ketua Wirawati Warisan itu menafikan tindakannya keluar parti demi mendapatkan imbuhan.
“Jika mahukan imbuhan sudah lama saya keluar Warisan dan menerima pelawaan daripada parti-parti besar sebelum ini.
“Kononnya saya dibeli, dibayar dan diberikan imbuhan hanya satu tuduhan liar dan saya tidak boleh menutup mulut semua orang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, keputusan keluar daripada Warisan bukannya dibuat dalam masa sehari, seminggu mahupun sebulan.
Katanya, banyak pertimbangan diambil kira sebelum mengambil keputusan meninggalkan Warisan kerana beliau tahu tindakan itu bukan hanya memberi kesan terhadap dirinya tetapi juga kepada penyokongnya serta Warisan Kalabakan.
Walau bagaimanapun, keutamaannya pada masa ini adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat serta meneruskan perjuangan menuntut hak-hak Sabah sama ada termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mahupun tidak.
Rina berkata, bermula sebagai pembangkang dan berjuang dalam blok pembangkang bukan satu masalah besar namun, apabila menyedari tanggungjawab terhadap rakyat mendorongnya untuk berkhidmat dalam parti yang sealiran dengan kerajaan.
Sudah hampir dua tahun beliau diberikan mandat oleh rakyat namun, banyak permohonan bantuan, permintaan membina kemudahan infrastruktur serta beberapa perkara lain tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan yang dihadapi.
Justeru, beliau akan meneruskan perjuangan politiknya bersama Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang juga parti tempatan kini berpusat di pantai timur Sabah.
“Keputusan untuk bersama kepimpinan Tan Sri Liew Yun Fah dalam PHRS adalah satu langkah terbaik untuk saya terus fokus terhadap perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya akan buktikan biar apa pun warna dan logo bendera yang saya kibarkan, fokus saya tetap satu iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN