Jeram Toi diberi wajah baharu

Jeram Toi diberi wajah baharu

KERJA-kerja pembaikan jalan dan cerun yang runtuh giat dilakukan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Walaupun sudah lebih enam bulan kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar berlaku iaitu pada pertengahan Disember lalu, kesan kemusnahan masih kelihatan khususnya di Taman Eko Rimba Jeram Toi yang menjadi antara lokasi perkelahan popular negeri ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Saleh Awaludin berkata, kejadian itu memusnahkan keseluruhan kawasan Jeram Toi termasuk kemudahan seperti pejabat, surau dan tandas.

Katanya, keadaan struktur Sungai Toi juga berubah iaitu dilihat semakin melebar dan dalam serta wujudnya aliran air sungai baharu.

“Kesan-kesan kemusnahan dan runtuhan masih boleh jelas kelihatan. Banyak pokok tumbang dan longgokan pokok kayu masih lagi berada di sungai dan berkumpul di situ selain tanah, selut dan pasir yang menyebabkan air agak keruh.

“Setakat ini, kerja-kerja membangunkan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi difokuskan kepada pembaikan jalan dan tebing yang runtuh termasuk di kawasan laluan masuk. Ia dijangka siap pada Oktober ini.

“Bagaimanapun kerja-kerja pembersihan hutan lipur ini seperti mengalihkan batu-batu runtuhan, pokok-pokok kayu tumbang dan membinanya semula sebagai lokasi tarikan pelancong mengambil sedikit masa dan selepas peruntukan yang dimohon diperoleh kerana ia melibatkan kos yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan bersama kumpulan pengamal media ke kawasan tersebut, kelmarin.

Sementara itu, Saleh berkata, pembangunan semula keseluruhan Taman Eko Rimba Jeram Toi melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta yang mana menerusinya kawasan berkenaan dijangka berubah wajah.

“Selepas ini pembangunan kemudahan seperti pejabat, tandas, surau dan chalet tidak lagi berada di kawasan dalam iaitu berhampiran sungai sebaliknya dibina di kawasan luar.

“Apabila kejadian banjir besar berlaku, Jeram Toi sudah banyak berubah, aliran sungai dan air terjun juga sudah cantik. Perancangan pembangunan kelak mengambil kira perkara itu termasuk risiko berulangnya kejadian hujan lebat berterusan dan banjir,” katanya yang menjangkakan pembangunan tersebut boleh disiapkan pada tahun depan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Taman Eko Rimba Jeram Toi hanya boleh dibuka untuk kunjungan orang ramai apabila ia benar-benar bersedia selepas menilai semua risiko.

“Kesan bencana agak besar, ia memusnahkan keseluruhan Jeram Toi dan memang di luar kebiasaan. Ia mengambil masa dan melibatkan kos yang agak besar iaitu mencecah jutaan ringgit.

“Masih ada risiko kesan daripada bencana iaitu banyak batu dan kayu-kayu tajam dan reput. Terdapat juga dawai dan kawat daripada runtuhan infrastruktur serta serangga berbahaya.

“Ia dibangunkan semula sesegera mungkin, kita akan pulihkan dan buka semula untuk umum kerana menyedari ia adalah tarikan utama orang ramai ke Jelebu,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya