Jemaah haji teruja lawat tempat bersejarah

Jemaah haji teruja lawat tempat bersejarah

AHMAD Ainullutfi Azzman ceria ketika berada di puncak Jabal Nur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah haji Malaysia tidak melepaskan peluang menziarahi tempat bersejarah di sekitar kota Mekah termasuk makam Saidatina Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad SAW.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, jemaah dari Salak Tinggi, Sepang berkata, perjalanannya ke tempat bersejarah iaitu Jabal Nur dan tanah perkuburan Ma’la dipenuhi dengan ilmu baharu.

“Perkuburan Ma’la ini berdekatan dengan tempat penginapan saya sekitar 400 ke 500 meter jalan kaki, 1,100 meter dari Masjidilharam, lebih tepat, di kawasan Dahlatul Jin yang tak jauh dari Masjid Jin.

“Yang menariknya per­ku­buran Ma’la ini ramainya Bani Hashim, keluarga Nabi Muhammad SAW. Yang paling penting, isteri pertama Nabi, Saidatina Khadijah dimakamkan di sini, penjaga tanah ini turut mengajar doa menziarahi kubur,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Ainullutfi bersama je­maah lain turut berpeluang men­daki Jabal Nur yang di atas­nya terdapat Gua Hira tempat Nabi Muhammad menerima wahyu pertama.

“Perjalanan naik ke puncak di­penuhi batu-batu besar dan ada tempat berehat selepas beberapa meter buat jemaah yang letih atau tidak larat.

“Ada tangga berbentuk zigzag dibina dari batu bagi memudahkan pendakian ke puncak, apabila sampai puncak, pemandangan di atas sungguh tenang dan dapat melihat seluruh kota Mekah,” katanya.

Tambahnya, makanan tradi­sional yang menjadi tarikan jemaah luar negara adalah unta muda atau Hashi yang dimakan bersama dengan nasi arab.

“Kos makanan ini dalam 57 Riyal atau sekitar RM66, makanan banyak dan boleh dimakan bersama tiga hingga empat orang, ia dihidangkan di atas plastik dan kami makan duduk bersila sahaja,” katanya.

Sementara itu, keadaan cuaca panas mendorong jemaah haji Malaysia memilih datang awal ke Masjid Nabawi di Madinah bagi memudahkan urusan menunaikan ibadah.

Seorang lagi jemaah, Azizi Zafran Che Abdullah, 43, berkata, kehadiran awal membolehkan mereka berada di ruangan berhawa dingin berbanding di kawasan terbuka pekarangan masjid itu.

Katanya, langkah tersebut se­kali gus dapat mengurangkan ri­siko strok haba akibat terdedah kepada cuaca panas melebihi 40 darjah celsius.

“Sepanjang seminggu berada di Madinah, jemaah bebas untuk keluar masuk masjid bagi beribadah, cuma saya dimaklumkan kawalan sedikit ketat untuk wanita kerana beg mereka diperiksa pengawal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN