KUALA SELANGOR: “Sejurus selepas terdengar dentuman kuat itu, menggigil tubuh saya melihat jasad anak sudah terbaring di belakang kereta”.
Demikian kata Rubiah Basok, 71, ibu kepada seorang lelaki yang maut dilanggar sebuah lori ketika menukar tayar kereta di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan di sini semalam.
Selain Allahyarham Zunairi Ahmad, 40, kemalangan pada pukul 4 petang itu mengorbankan seorang penyelia Kementerian Kesihatan berusia 55 tahun yang mahu dibantu arwah.
Menurut Rubiah, ketika kejadian, dia bersama arwah dan seorang jiran yang menaiki Proton Wira menuju ke rumah adik perempuannya di Kampung Parit Mahang, Ijok.
Katanya, arwah kemudian memberhentikan kereta di bahu jalan untuk membantu sebuah kereta Proton Preve yang tayarnya pancit.
“Pada waktu itu, saya dan jiran hanya berada di dalam kereta sementara menunggu anak selesai membantu. Mendengar bunyi dentuman itu, saya segera keluar dan melihat anak cedera teruk di kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Kasawari di sini, petang tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan siasatan polis mendapati kereta Preve dinaiki penyelia Kementerian Kesihatan di Seremban, Negeri Sembilan sebelum itu dipercayai pancit.
Kereta Wira dipandu Zunairi kemudian datang ke lokasi kejadian untuk cuba membantu di tepi jalan, namun kedua-dua mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk.
Jelas Rubiah, anak ketiga daripada keempat beradik yang masih bujang itu sememangnya amat ringan tulang dan gemar membantu terutama ahli keluarga.
“Walaupun agak pendiam, dia seorang yang peramah dan sentiasa membantu urusan harian saya selepas pemergian arwah suami sejak 17 tahun lalu. Namun, ternyata Allah lebih menyayangi arwah dan kami redha dengan ketentuan ini biarpun perit menerimanya,” luahnya.
Tambah beliau, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik kecuali sempat menyatakan hasrat untuk membeli kereta baharu kepada seorang ibu saudaranya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Blok G Sawah Sempadan, Tanjong Karang, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pemandu lori berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing lelaki itu didapati negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN










