‘Jangan terlampau seronok harga ayam diapungkan’

‘Jangan terlampau seronok harga ayam diapungkan’

RONALD Kiandee (dua dari kanan) meninjau pusat jualan Bismi Empire setelah mengadakan sesi pertemuan dengan penternak di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan memberi amaran kepada pemain industri ayam supaya tidak menjadikan harga yang diapungkan bermula 1 Julai ini sebagai pesta harga sehingga membebankan rakyat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, walaupun kenaikan harga ayam melebihi harga kawalan ketika ini tidak dapat dielakkan, namun kerajaan akan memastikan ia ditetapkan pada harga munasabah.

“Harga pasaran ayam jika diapungkan daripada harga kawalan RM8.90 sekilogram bermula 1 Julai nanti pasti akan tinggi daripada RM8.90 sama ada RM10, RM11 atau lebih yang akan ditentukan harga pasaran.

“Tentu sekali kerajaan akan memantau agar tidak ada elemen keuntungan melampau dari mana-mana pihak dalam industri. Kita tahu berapa harga di ladang sekilogram kerana kos input semua boleh dikira,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat penternakan dan pengeluaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. di kilang memproses ayam di Simpang Empat Kangkong, di sini hari ini.

Akhbar melaporkan, Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan ayam akan mencecah lebih RM10 sekilogram selepas berakhirnya skim harga kawalan maksimum dan pemberian subsidi kepada penternak pada 30 Jun ini.

Tambah Ronald, kerajaan juga akan segera menyalurkan bantuan subsidi kepada rakyat daripada kumpulan B40 bagi meringankan beban mereka menjelang bulan depan.

“Kerajaan tidak akan biarkan rakyat untuk membeli ayam pada harga tinggi, untuk itu subsidi kelak akan disalurkan kepada kumpulan B40 yang sudah diumumkan Perdana Menteri dua minggu lepas.

“Kementerian Kewangan dalam proses untuk tentukan jumlah subsidi ini dan bila akan diberikan akan ditentukan oleh kementerian itu. Tetapi saya yakin kita akan salurkan bantuan itu sebelum 1 Julai,” katanya.

Mengulas tentang bekalan ayam, kata beliau, pemain industri berkenaan memberi jaminan akan mengembalikan ia pada kapasiti penuh iaitu dua juta ayam sehari sebagai langkah menstabilkan bekalan komoditi itu. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN