KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menyegerakan pendakwaan membabitkan tiga pegawai kanan Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) yang disyaki terlibat dalam salah guna kuasa.
Katanya, pendakwaan perlu dilakukan segera kerana sehingga kini tiada tindakan diambil walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan penuh ke Pejabat Peguam Negara pada April lalu.
Beliau turut mempersoal tindakan AGC yang mengambil masa agak lama memfailkan pendakwaan walaupun kertas siasatan dan bukti penuh dikemukakan sejak April lalu.
“Isu ini tidak boleh dibiarkan sebab ia melibatkan kepentingan bumiputera serta duit rakyat. Malah, saya difahamkan pegawai terbabit juga sehingga hari ini tidak digantung kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan berkata, kerajaan harus telus dalam menangani isu integriti dan salah guna kedudukan tanpa memilih ‘bulu’.
Menurut beliau, ia penting bagi memastikan kestabilan khususnya kepentingan bumiputera terjamin di bawah mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
“Jika benar kes melibatkan pegawai kanan Mara Corp. itu bakal digugurkan, maka tidak hairanlah kerajaan hari ini boleh muncul sebagai ‘juara rasuah’. Situasi ini pasti menyebabkan pelabur takut untuk datang kerana muak dengan ketidakstabilan pentadbiran di negara ini,” katanya.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan AGC bakal menggugurkan kes membabitkan tiga pegawai kanan Mara Corp. Namun, SPRM menyangkal dakwaan itu malah, Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki menyatakan tiada sebarang makluman daripada AGC berhubung kes itu.
Pada Februari lalu, SPRM tmelengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan integriti dan salah guna kedudukan membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).- UTUSAN










