Jangan bandingkan saya dengan Zuraida - Utusan Malaysia

Jangan bandingkan saya dengan Zuraida

DAP
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak tidak membandingkan beliau dengan Datuk Zuraida Kamarudin yang kini telah berhijrah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Bersatu sebelum ini bukan kerana paksaan sesiapa.

Malah katanya, jati diri parti Bersatu yang progresif serta inklusif merupakan sesuatu yang amat dekat dengan perjuangannya di dalam politik membuatkan beliau mahu terus berjuang di dalam parti itu.

”Tidak perlu bandingkan saya dengan orang lain (Zuraida) kerana apabila saya pilih Bersatu ia bukan paksaan, saya menyertai Bersatu kerana ia dekat dengan diri saya yang mahu parti yang progresif dan inklusif kepada semua.

”Bersatu lakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu pertahankan serta perkukuhkan parti bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya akan beri tenaga dan sumbangan untuk kukuhkan Bersatu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di sini hari ini.

Pada Ogos 2020, beberapa pemimpin PKR termasuk Mohamed  Azmin dan Zuraida yang bergerak menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara mengumumkan keputusan menyertai (Bersatu).

Bagaimanapun, Zuraida yang merupakan rakan sekutu Mohamed Azmin dalam politik bertindak meninggalkan Bersatu dan berhijrah menyertai PBM pada 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, beliau yakin dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik akan membuatkan parti itu diterima rakyat pada pilihan raya umum kelak.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau juga bersedia untuk bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Saya telah lakukan sedaya upaya untuk bangunkan Gombak sebelum ini, saya serahkan kepada parti untuk membuat keputusan, saya ahli biasa sahaja dan jika dipilih saya bersedia bertanding di mana-mana sekalipun termasuk di Permatang Pauh. Keputusan untuk bertanding di mana-mana kerusi bukan saya yang tentukan, saya akan patuh kepada keputusan parti,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas dakwaan beliau akan kembali menyertai PKR susulan dakwaan beliau berjumpa dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, Mohamed Azmin berkata, perkara itu hanya spekulasi semata-mata.

”Saya jumpa ramai orang, saya tidak ingat siapa saya jumpa, saya juga pergi banyak hotel. Nama pun spekulasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya