Jalankan kajian mengenai keperluan makanan di Pulau Pinang

Jalankan kajian mengenai keperluan makanan di Pulau Pinang

MUHAMAD YUSOFF MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan menjalankan kajian mengenai keperluan makanan di negeri itu serta melaksanakan projek bersesuaian bagi menangani isu kos sara hidup yang kian meningkat.

Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sungai Dua) berkata, kajian itu juga perlu dijalankan sebagai jaminan kepada bekalan makanan untuk rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu mempunyai data mengenai penggunaan domestik makanan asas dalam negeri seperti sayur, beras, daging dan sebagainya.

”Data ini perlu supaya boleh diselaraskan dengan program pertanian yang bersesuaian dengan keperluan makanan rakyat negeri ini,” katanya ketika membahaskan usul tergempar yang dibawa oleh Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu, Khai Loon mengusulkan supaya Kerajaan Pusat menangani kenaikan kos sara hidup dan menjamin keselamatan makanan yang menghimpit rakyat dan menjejaskan pembangunan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu melihat perkara itu dengan menyeluruh demi menjaga keperluan rakyat dan tidak boleh hanya mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Pusat semata-mata.

Dalam pada itu, ketika perbahasan sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak) berkata, sistem rantaian bekalan di dalam negara perlu dinilai semula sebagai langkah untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang dan jaminan bekalan makanan.safina

”70 peratus daripada kos menternak ayam adalah makanan ayam seperti soya dan jagung yang diimport dari Argentina dan Brazil.

”Ketika ini tukaran wang ringgit yang lemah berbandung dolar Amerika Syarikat telah membuatkan kos penternak menjadi lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, nilai import makanan di negara ini juga terlalu tinggi sehingga menyebabkan harga barangan asas turut meningkat apabila nilai mata wang negara menjadi lemah.

”Terlalu banyak perkara yang perlu ditetapkan semula rangkaiannya bagi memastikan harga barangan dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata, Malaysia perlu mencontohi Singapura yang mempelbagaikan pembelian import makanan negara berkenaan kepada 170 negara.

”Malaysia perlu mempelbagaikan lokasi import sumber makanannya seperti Singapura untuk menjamin bekalan makanan negara ini.

“Sekarang apabila banyak negara mengambil tindakan untuk menghalang pengeksportan barang keperluan, kita pun akan terjejas kerana kita tidak dapat membeli barangan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN