PUTRAJAYA: Tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan dan mengkritik tulisan berhubung penjawat awam dikatakan tertekan di zaman pemerintahan gabungan parti pembangkang itu hanya membuka pekung sendiri.
Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana tulisannya itu adalah berdasarkan pengakuan sendiri penjawat awam disampaikan melalui Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menemuinya terlebih dahulu sebelum bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Jun lalu.
Katanya, beliau sendiri terkejut dengan cerita-cerita mereka yang disertakan dengan bukti-bukti bertulis dan beliau sekadar memanjangkan cerita mereka sahaja.
“Pemimpin dan penyokong PH boleh menolaknya, tetapi penolakan penjawat awam ke atas PH memang sudah terbukti pun dalam beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kamarul mendedahkan isu penjawat awam tertekan di zaman PH dalam artikel yang disiarkan dalam media tempatan bertajuk ‘Tertekan di zaman PH, penjawat awam kini terbela’ pada 17 Jun lalu.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh menolak tulisan itu dengan menyebut “apabila baca berita atau artikel, kena tengok dulu siapa penulisnya.”
Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad pula menyifatkan tulisan itu sebagai mengarut sambil menyebut profesionalisme PH diakui ramai selain ada juga komen di tempat-tempat lain yang mempersoalkan ketepatan tulisan itu kerana ia bukan dari penjawat awam sendiri.
Justeru, Kamarul meminta pemimpin PH untuk menjawab 11 soalan dari tulisan berkenaan.
1. Ada atau tidak ada ahli Parlimen DAP yang menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan kerajaan?
2. Ada atau tidak ada Ahli Parlimen DAP yang mendesak Kerajaan PH supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara?
3. Ada atau tidak ada Ahli Parlimen DAP yang mencadangkan di Dewan Rakyat supaya kerajaan PH melakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen pegawai atau kakitangan awam yang dikatakan membazirkan?
4. Ada atau tidak ada Exco DAP yang menegaskan mengenai betapa kerajaan PH tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam?
5. Ada atau tidak ada timbalan menteri DAP yang menegaskan mengenai keperluan untuk melakukan proses pembersihan kepada penjawat awam?
6. Ada atau tidak ada pemimpin PH, baik dari DAP, Amanah atau PKR, yang menuduh penjawat awam mensabotaj kerajaan PH?
7. Betul atau tidak kerajaan PH memindah dan menyejukbekukan (cold storage) penjawat-penjawat awam utama kerajaan?
8. Betul atau tidak kerajaan PH memberhentikan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang melibatkan pertemuan antara Perdana Menteri dan penjawat awam?
9. Betul atau tidak kerajaan PH tidak melaksanakan pengumuman Perdana Menteri di MAPPA XVI pada 4 April 2018 mengenai kenaikan gaji bersamaan 1 KGT secara khas kepada semua penjawat awam, pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun serta penambahan Gred DG 56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
10. Betul atau tidak sesatunya pemberian geran tahunan oleh kerajaan PH kepada Cuepacs ialah pada tahun 2019 dengan nilai sebanyak RM1 juta sahaja?
11. Betul atau tidak kerajaan PH menyenyapkan surat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 15 Februari 2018 ke atas permohonan pemberimilikan lot tanah kerajaan di Presint 18 untuk Cuepacs?
“Inilah masalah utama sebahagian pemimpin dan penyokong PH, tidak mampu berhujah secara rasional, tetapi hanya pandai mengata dan melabel sahaja,” katanya. – UTUSAN