Isu kematian bayi, bukan semua maklumat boleh didedah

Isu kematian bayi, bukan semua maklumat boleh didedah

SHAHELMEY YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bukan semua maklumat berhubung siasatan kematian bayi perempuan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas boleh didedahkan kepada umum.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, siasatan kes kematian bayi baharu lahir itu akan dijalankan secara telus.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan hospital mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri maka, masyarakat perlu faham bahawa bukan semua maklumat boleh dikongsi kepada umum.

“Ada maklumat yang tidak boleh dikongsi secara terbuka kepada umum. Namun, untuk kes ini, siasatan masih dijalankan dan Pengarah Kesihatan Negeri memaklumkan mereka sedang melakukan sesi konsultasi dengan keluarga pesakit.

“Jadi, kita tunggu hasil siasatan daripada Kementerian Kesihatan,” katanya semasa mengulas tentang kes kematian bayi di HWKKS Likas yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa acara pelepasan bas elektrik bagi projek perintis eBusKK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Exco Kesihatan Negeri itu turut mengingatkan masyarakat agak tidak terlalu emosi dengan insiden yang berlaku sehingga mengeluarkan bahasa kesat terhadap petugas kesihatan seperti jururawat mahupun doktor.

Menurut beliau, kata-kata kesat tidak seharusnya dilemparkan kepada petugas kesihatan kerana jika berlaku sebarang kecuaian atau ketidakcekapan dalam perkhidmatan mereka maka, biarlah siasatan dilakukan oleh pihak berkaitan.

“Kita selaku masyarakat tidak perlu mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh melemahkan atau menghilangkan motivasi petugas kesihatan. Maka, saya meminta perkara itu dihentikan,” katanya.

Susulan itu, Shahelmey mencadangkan semua hospital mewujudkan unit komunikasi korporat masing-masing agar mereka dapat berkomunikasi dengan masyarakat dengan lebih tepat dan telus.

Ini bagi mengelak timbul sebarang spekulasi atau tuduhan liar berkaitan perkhidmatan kesihatan. Unit komunikasi penting bagi membolehkan pihak hospital berhubung dengan masyarakat bagi menerangkan perkara sebenar yang berlaku.

Dalam pada itu, mengenai gelombang baharu Covid-19, beliau meminta rakyat di negeri ini agak tidak terlalu leka dan terus patuh kepada SOP ditetapkan oleh kerajaan susulan trend peningkatan kes harian Covid-19 di Sabah.

Tambah beliau, jangkitan virus Covid-19 sudah berada dalam kalangan masyarakat maka, langkah berwaspada perlu diambil agar gelombang baharu tidak menular dengan pantas.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan Malaysia dijangka akan menghadapi gelombang baharu Covid-19 lebih awal susulan peningkatan kepada lebih 2,000 kes sejak beberapa hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya