Isu CLQ: Reezal mahu kerajaan negeri senaraikan industri akan dibangunkan di Bertam - Utusan Malaysia

Isu CLQ: Reezal mahu kerajaan negeri senaraikan industri akan dibangunkan di Bertam

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan jenis industri atau projek yang akan dibangunkan di Bertam dekat sini, bagi memastikan rakyat khususnya penduduk setempat mendapat gambaran lebih jelas mengenai projek itu.

Katanya, perkara itu perlu selepas timbulnya cadangan pembinaan asrama pekerja, Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat atau Centralized Labour Quarters (CLQ) di situ yang menggusarkan penduduk.

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas itu, perkara tersebut terbukti ketika sesi pendengaran mengenai cadangan berkenaan antara wakil kerajaan negeri dengan penduduk yang terkesan baru-baru ini apabila majoritinya membantah cadangan terbabit.

Katanya, beliau masih lagi kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan CLQ itu dan perkara tersebut juga telah dinyatakan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad serta pemaju.

“Kalau seandainya nak bawa kilang-kilang atau kawasan industri ke sini (Bertam) pun, maka, ia perlu berteraskan teknologi tinggi serta dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk tenaga mahir sahaja.

“Contohnya, kita ada ILP (Institut Latihan Perindustrian) dan keluaran (graduan). Alangkah indahnya jika ini menjadi tempat untuk mereka mencari pekerjaan kerana kita tidak mahu kebanjiran pekerja asing (khususnya tenaga kurang mahir) di sini terlalu banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini cadangan pembinaan CLQ itu di Bertam.

Reezal Merican sebelum ini mahu satu sesi libat urus yang lebih telus berhubung cadangan pembinaan CLQ itu dibuat demi rakyat khususnya penduduk di sekitar Bertam untuk meredakan keresahan mereka.

Ia susulan bantahan secara aman lebih 50 penduduk termasuk ahli kariah masjid di sekitar Bertam bagi menentang cadangan pembinaan CLQ berkenaan kerana berpendapat, pembinaan tersebut akan menimbulkan beberapa masalah khususnya kepada penduduk setempat seperti masalah sosial, pencemaran dan kesesakan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak pemaju yang ingin membangunkan sebarang projek di situ seharusnya membuat Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) terlebih dahulu bagi mengkaji dan mengenal pasti sama ada pelaksanaannya bermanfaat atau sebaliknya.

“Dalam SIA ini, ia akan jadi penentu dan akan dilihat oleh pihak terbabit iaitu kerajaan negeri dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Mereka ini juga akan membuat penilaian yang pada akhirnya matlamat untuk melakukan sesuatu itu perlu benar-benar difahami dan dipersetujui rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN