saman trafik

IPD Muallim keluarkan 312 saman trafik

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang diperiksa di Kilometer 116, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Plaza Tol Behrang dekat Tanjung Malim semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebanyak 312 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya termasuk peserta konvoi bermotosikal yang memasuki Tanjung Malim melalui Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.

Operasi bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang itu dijalankan di Kilometer 116, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Plaza Tol Behrang.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, sekatan jalan raya (SJR) itu dijalankan berikutan hantaran tular di Twitter berkaitan penunggang motosikal berkonvoi di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim. 

Katanya, siasatan mendapati, kumpulan motosikal itu bergerak berkumpulan dari utara dan selatan menuju ke sebuah restoran di Tanjung Malim.

“Hasil pemeriksaan, terdapat pelbagai kesalahan dikesan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi pandang belakang, nombor pendaftaran tidak lengkap dan ubahsuai ekzos. 

“Sebanyak 312 saman dikeluarkan terhadap 307 penunggang motosikal dan lima saman terhadap kenderaan lain,” katanya.

Terdahulu, tular di Twitter berkaitan ‘mat rempit’ di sekitar lebuh raya di Tanjung Malim yang didakwa memberhentikan kenderaan masing-masing sesuka hati sekali gus membahayakan kepada pengguna jalan raya lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN