Insentif pengecualian cukai jualan kekal tamat, pendaftaran kenderaan dilanjut 31 Mac 2023 - Utusan Malaysia

Insentif pengecualian cukai jualan kekal tamat, pendaftaran kenderaan dilanjut 31 Mac 2023

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Insentif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang bagi pemasangan tempatan dan import kekal ditamatkan pada 30 Jun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga tarikh itu boleh terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini dan tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Menurut beliau, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Beliau berkata, dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif kembali beroperasi seperti sediakala, namun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global.

“Pada masa sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif.

“Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus ke atas kenderaan penumpang import sejak 15 Jun 2020.

Insentif itu diperkenalkan bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan terjual dan rakyat mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN