SHAH ALAM: Mempunyai pengalaman di dalam bidang tugas sudah menjadi kelebihan buat individu-individu untuk terus berkembang di dalam industri diterajuinya kerana ia bagai ‘senjata’ untuk melangkau cabaran bagi memastikan kejayaan mereka dan pelanggan.
Tiada perbezaan dengan industri lain, industri reka bentuk dan dekorasi rumah turut memerlukan pengalaman untuk memenuhi cita rasa pelanggan supaya imaginasi mereka dapat direalisasikan dalam kediaman idaman.
Ilham Garis Sdn. Bhd., walaupun ia adalah sebuah syarikat hiasan dalaman rumah yang baru mengukir nama di dalam bidang tersebut tetapi ia diterajui dengan empat individu pakar di dalam tugas mereka dengan masing-masing mempunyai lebih 20 tahun pengalaman.

Gabungan Jazmi Abd. Karim sebagai pengarah reka bentuk, Rushaizal Rasli pula sebagai pengarah komersial, Anipiah Jamahari seorang arkitek landskap berpengalaman memegang jawatan pengarah komersial dan seorang arkitek yang tidak asing di dalam industri, Kamarul Irliza Busu Piah sebagai pengarah projek menjadikan gabungan mereka jelas menjamin kejayaan dalam memuaskan hati pelanggan.
Jazmi berkata, Ilham Garis bukan sahaja syarikat yang hanya menjual ‘kabinet’ tetapi lebih kepada menawarkan khidmat idea untuk hiasan dalaman, malah syarikat itu turut membantu dari fasa permulaan pembinaan rumah lagi.
“Ilham Garis ditubuhkan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, ia diterajui oleh empat sumber tenaga dengan latar belakang berbeza yang membolehkan kami memenuhi kehendak pelanggan secara menyeluruh.
“Dengan kekuatan kita ada ini, Ilham Garis bukan hanya fokus kepada hiasan dalam sahaja tetapi kami bermula dari fasa awal pembangunan rumah itu lagi, erti lain dari tanah kosong hingga terbina kediaman mengikut kemahuan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Walaupun penubuhan Ilham Garis semasa negara di dalam era pandemik, tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk syarikat daripada gabungan empat individu itu terus mencoret kejayaan dan bertahan.
Ditanya mengenai bagaimana Ilham Garis mendapatkan pelanggan di samping terus bersaing di dalam industri sebagai ‘pendatang baru’, Jazmi menegaskan, syarikatnya bersaing dengan menawarkan idea yang memenuhi kehendak pelanggan dan sentiasa melakukan tugasan mereka dengan sangat terperinci.
“Sememangnya nama Ilham Garis adalah baharu tetapi orang di luar tidak tahu siapa yang ada di dalam, kerana jika ikut pengalaman kami sudah kedepan jauh. Malah, semasa kami bersaing dengan syarikat lain, kami akan memastikan Ilham Garis sentiasa menawarkan cara kerja yang lebih baik.
“Kami juga sering memberi pengalaman dan pengetahuan kepada pelanggan-pelanggan dengan menjemput mereka ke bilik pameran ni untuk tunjuk kepada mereka apakah perbezaan kami dengan syarikat lain dan merasai sendiri hasil tangan kami,” ujarnya.
Beliau menambah, Ilham Garis sentiasa mempelajari karakter dan kehendak pelanggan sebelum memberi nasihat berdasarkan pengalaman mereka bagi menuruti kehendak serta keperluan pelanggan.
“Kita akan beri apa yang terbaik untuk mereka dalam pada masa sama memenuhi permintaan pelanggan. Kami sentiasa menerangkan kepada pelanggan kenapa ia perlu seperti itu atau seperti ini supaya mereka mudah faham.
“Sesetengah orang apabila sudah ada rumah, mereka akan beli pelbagai barang-barangan tetapi tidak mendapat hasil seperti diimpikan lalu menyebabkan mereka rugi daripada perbelanjaan yang besar.
“Di sini kita akan mengikuti setiap proses dari perbincangan mengenai kehendak pelanggan, lakaran impian mereka dan juga pelaksanaan. Jadi di situ pelanggan akan lebih berjimat dalam merealisasikan impian mereka,” jelasnya.
Katanya, lebih 90 peratus pelanggan yang hadir ke bilik pameran setuju untuk menggunakan khidmat mereka selepas mendengar perjelasan dan idea daripada Ilham Garis.
“Kira-kira 70 peratus daripada pelanggan kami sangat berpuas hati dengan servis ditawarkan Ilham Garis kerana memenuhi jangkaan mereka,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menggunakan kepakaran Ilham Garis, boleh menghubungi Rushaizal di talian 0176828314 atau Jazmi (0195551991). – UTUSAN










