SEREMBAN: Seorang wanita yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, malam kelmarin, Nurfurqan Norazmi, 22, pernah menyatakan hasrat membawa ahli keluarganya bercuti.
Bapa saudara mangsa, Firdaus Hussein, 32, berkata, Nurfurqan adalah anak sulung daripada tujuh beradik dan seorang kakak yang sangat bertanggungjawab.
“Allahyarham yang sudah berkahwin tinggal di Gentam, Kuala Pilah bekerja sebagai penyelia di sebuah kedai gajet di Taman Paroi Jaya dan sangat mementingkan ahli keluarganya.
“Dia ada memaklumkan untuk membawa keluarga dan adik beradiknya bercuti namun tidak kesampaian. Empat hari lalu, Allahyarham juga ada memberitahu yang dia agak keletihan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, semalam.
Dalam kemalangan pukul 11.05 malam itu, Nurfurqan yang memandu Perodua Viva maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan.
Kereta dipandu mangsa dirempuh sebuah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun yang hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Menurut Firdaus, adik ketiga Allahyarham turut meninggal dunia dalam kemalangan pada April lalu.
“Kami baru sahaja kehilangan adik ketiga arwah pada April lalu akibat kemalangan kini kehilangannya pula,” katanya yang memberitahu suami mangsa bertugas di luar kawasan ketika kejadian.
Katanya, dia mengetahui tentang kejadian selepas mendapat panggilan telefon daripada abang iparnya.
“Sebelum itu, saya ada menghubungi Allahyarham untuk bertanyakan dia pulang kerja pukul berapa kerana mahu mengajaknya makan malam bersama isteri dan anak saya di Senawang.
“Bagaimanapun, selepas itu isteri saya memaklumkan tidak dapat menghubungi arwah dan kemudian mendapat panggilan telefon daripada abang ipar. Kami segera ke tempat kejadian dan mendapati Nurfurqan sudah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN









