Harga runcit durian di Semenanjung terus naik - Utusan Malaysia

Harga runcit durian di Semenanjung terus naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu boikot durian dilancarkan segelintir pihak sebagai protes kerana marah dengan harganya yang mahal ternyata tidak memberi kesan kepada peniaga buah tersebut.

Malah tinjauan terbaharu dilakukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendapati, harga runcit ‘raja buah’ itu terus meningkat sedikit berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, varieti durian premium masih di bawah RM100 sekilogram dengan paling mahal jenis D200 atau lebih dikenali Duri Hitam yang mencatatkan harga tertinggi iaitu RM92.

Dua minggu lepas, klon yang juga lazim disebut sebagai Ochee dan mula didaftarkan di Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada 2016 itu merekodkan harga runcit RM90.

Turut meningkat sebanyak RM2 sekilogram ialah varieti D197 yang popular dirujuk sebagai Musang King apabila mencatatkan harga runcitnya RM62 berbanding pertengahan bulan lalu.

Begitu juga klon D160 atau Buluh Bawah dan Tekka dan berasal dari Banting, Selangor apabila dijual RM42, bertambah RM4 daripada harga lama sebelumnya.

Baka D175 atau Udang Merah bagaimanapun mencatatkan kejatuhan dengan durian jenis itu merosot RM5 sekilogram untuk awal bulan ini menjadi cuma RM30 selain durian klon kahwin kampung apabila dijual lebih murah RM3 sekilogram kepada harga semasa hanya RM20.

Keadaan berbeza pula dengan baka durian kampung apabila meningkat RM2 sekilogram menjadi RM18 manakala klon D24 atau disebut Sultan pula kekal harganya RM35.

Dalam pada itu, tinjauan agensi tersebut mendapati, baka durian import popular dari Thailand dikenali Puangmanee melonjak sebanyak RM7 sekilogram dengan harga terkini RM35.

Sementara satu lagi klon dari negara jiran tersebut yang dikenali sebagai Chanee atau biasa juga disebut Tembaga pula masih lagi kekal dengan harga lama iaitu RM20 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya