Hajat tunai umrah tidak kesampaian

Maut kemalangan, hajat pasangan suami isteri tunai umrah tidak kesampaian

MUHAMMAD TARFIZAM Talib menunjukkan potret ibu dan bapanya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Taman Muhibbah, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hajat suami isteri warga emas, Abd. Talib Akob, 73, dan Fauziah Marzuki, 62, menunaikan umrah Oktober ini tidak kesampaian selepas pasangan itu maut akibat kemalangan di Kilometer 192.6 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Gambang, kelmarin.

Anak kedua pasangan itu, Muhamad Tarfizam, 40, berkata, ibu dan bapanya sudah membuat persediaan untuk ke tanah suci dan dijadual berangkat pada 5 Oktober ini.

“Sebelum kejadian, mak dan ayah saya ke Kuantan untuk mengikuti kursus umrah di sebuah masjid di Bandar Indera Mahkota, seterusnya membuat pasport.

“Setelah selesai urusan itu, mereka pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipandu adik saya, Muhamad Taufik,” katanya ketika ditemui di Taman Muhibbah, di sini, semalam.

Muhamad Tarfizam yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Pengkalan Chepa, Kelantan berkata, ibu dan bapanya duduk di bahagian belakang kenderaan manakala Muhamad Taufik yang memandu di depan bersama isterinya di sebelah.

Katanya, ibu dan bapanya serta adik iparnya dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan ketika pacuan empat roda itu terjunam ke dalam gaung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Abd. Talib yang merupakan pesara polis dan Fauziah, seorang suri rumah meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dari Kuantan menghala ke Jerantut hilang kawalan menyebabkannya melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam gaung.

Muhamad Taufik, 34, cedera parah di bahagian kepala manakala isterinya Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32, cedera ringan.

Muhamad Tarfizam berkata, walaupun sedih dengan kejadian itu, dia dan keluarga reda dengan ujian Allah SWT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN