Hadiah harijadi RM100,000 dan jam tangan mewah

Hadiah harijadi RM100,000 dan jam tangan mewah

LIM Guan Eng (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau menghadiahkan wang tunai RM100,000 dan jam tangan mewah berjenama Maurice Lacroix bernilai RM43,000 kepada Lim Guan Eng sempena ulang tahun kelahirannya, lapan tahun lalu.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memberitahu, beliau memperoleh tarikh kelahiran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut menerusi internet iaitu pada 8 Disember.

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) berkata, wang tunai RM100,000 yang merupakan hadiah pertama, diletakkan dalam sampul putih dan diserahkan kepada Guan Eng di pejabatnya di tingkat 28, KOMTAR sekitar Disember 2014.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 itu, Guan tidak bertanyakan isi sampul berkenaan mahupun menolaknya, malah kelihatan gembira ketika menerima hadiah tersebut.

Ujar Zarul Ahmad, 62, wang itu adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh Guan Eng daripada keuntungan syarikat selepas dianugerahkan dengan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Ujar kontraktor itu, hadiah kedua iaitu wang tunai RM100,000 dan jam tangan mewah berwarna hitam diserahkan sekitar Disember 2015, juga di pejabat
Guan Eng di KOMTAR.

“YB Guan Eng bagaimanapun menyerahkan kembali sampul berisi wang itu kepada saya dan hanya menerima jam tangan. Namun saya tidak pernah melihat beliau memakai jam itu,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Zarul Ahmad berkata, Guan Eng tidak pernah meminta jam tangan sebagai hadiah sebaliknya beliau sendiri yang membelinya daripada seorang jurujual jam tangan bernama Rajan.

Beliau mengakui tidak merasa apa-apa apabila Guan Eng menolak pemberian RM100,000 atas alasan projek mega itu akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Ujarnya, peringkat itu hanya melibatkan kajian kebolehlaksanaan dan tidak munasabah untuk membayar keseluruhan 10 peratus yang diminta oleh Guan Eng kerana perjalanan projek masih jauh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Isnin ini.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.