PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan membentangkan pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pada sidang Parlimen akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, cadangan pindaan itu sudah diluluskan Jemaah Menteri dan akta itu kali terakhir dipinda pada dua tahun lalu.
Beliau berkata, pindaan terbaharu itu bertujuan membawa lebih banyak manfaat kepada pemandu (pemilik kenderaan) di samping meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya.
“Antara pindaan itu membabitkan proses pertukaran pemilikan kenderaan motor secara interim (sementara), daripada pemilik asal kenderaan kepada syarikat jual atau beli kenderaan terpakai.
“Pindaan ini penting bagi melindungi kepentingan pemilik apabila mereka menjual kenderaan mereka kepada syarikat jual beli kenderaan terpakai,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Selain itu, katanya, pindaan itu juga membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan sistem High Speed-Weigh In Motion (HS-WIM) iaitu alat untuk mencerap berat kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya.
Ka Siong berkata, HS-WIM adalah pendekatan terbaik melalui gabungan teknologi ke dalam penguatkuasaan yang berupaya mencegah gejala rasuah dan memastikan pemantauan berterusan untuk pematuhan.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pindaan turut dibuat bagi meminda had umur pemegang kenderaan p-hailing kepada tidak kurang daripada 18 tahun, daripada 21 tahun pada ketika ini. – UTUSAN










