Gara-gara pekak, tukang gunting rambut cedera dipukul

Gara-gara pekak, tukang gunting rambut cedera dipukul

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Akibat salah faham, seorang wanita tukang gunting rambut cedera di kepala akibat dipukul menggunakan sebatang besi oleh anak pelanggannya dalam kejadian di Felda Trolak Selatan, Sungkai pada Isnin lalu.

Difahamkan, tukang gunting itu cedera selepas diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki berusia 35 tahun kerana menyangka ibunya dimarahi oleh tukang gunting rambut itu ketika sedang menggunting rambut. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan wanita tukang gunting rambut berusia 62 tahun itu menerima lima jahitan di kepala.

Katanya, kejadian berlaku disebabkan salah faham kerana tukang gunting rambut itu yang mengambil upah dari rumah ke rumah itu mempunyai masalah pendengaran.

“Ketika bercakap dengan pelanggannya, tukang gunting itu bercakap dengan nada yang tinggi menyebabkan suspek menyangka wanita itu sedang memarahi ibunya.

“Marah dengan keadaan itu, suspek telah menyerang mangsa dari arah belakang dan mengetuk kepala tukang gunting rambut itu dengan sebatang besi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah telah berlari ke arah rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum dibawa ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, pihak polis yang dimaklumkan kejadian itu telah ke lokasi dan menahan suspek serta merampas sebatang besi yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai 18 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Ujian awal saringan air kencing juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN