Ganti lambat puasa 6 hari luar bulan Syawal diharuskan - Utusan Malaysia

Ganti lambat puasa 6 hari luar bulan Syawal diharuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam yang tidak sempat menghabiskan baki puasa sunat enam hari pada Syawal diharuskan menyelesaikan di luar bulan itu sebagai ganti sebab keterlambatannya.

Demikian pandangan tokoh agama terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai menjawab persoalan banyak pihak yang gagal berbuat demikian sepanjang Syawal lepas.

“Bagi yang tidak sempat menyelesaikan puasa enam hari pada Syawal lalu misalnya dengan cuma sempat empat hari, maka dia boleh terus menghabiskan bakinya pada Zulkaedah pula. Ia sebagai ganti atas keterlambatan pada bulan lepas dan semoga masih mendapat pahala dengan rahmat serta fadilat daripada Allah,” katanya menerusi portalnya Maktabah al-Bakri.

Bagaimanapun, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menyatakan beberapa hujah daripada ulama tertentu mengenai isu tersebut dengan sebahagian ada mengharuskan perbuatan berkenaan.

Pandangan itu melibatkan sebahagian ulama mazhab Maliki dan Hanbali yang berpendapat bulan Syawal dimaksudkan hadis oleh Rasulullah SAW bukan pengkhususan hukum waktu.

Ia malah boleh dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zulhijah dan jika dibuat ketika Syawal adalah lebih mudah untuk semua orang kerana baru tamat melakukan puasa wajib Ramadan.

Sementara sebahagian ulama mazhab Syafie ujar Zulkifli, berpandangan boleh dilewatkan puasa sunat itu namun pahalanya mungkin kurang berbanding jika berpuasa ketika Syawal.

“Antaranya Ibnu Hajar al-Makki dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtaj yang merumuskan bahawa ganjaran puasa enam itu sama selama satu tahun tanpa dilipatgandakan pahala,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pandangan ketiga yang banyak membabitkan ulama dari mazhab Hanbali seperti Al-Bahuti dengan berpendapat langsung tidak mendapat fadilat disebutkan.

Namun, pengecualian kemungkinan besar hanya dinikmati golongan tertentu seperti wanita yang uzur syarie yang masih mendapat pahala seumpama berpuasa setahun dinyatakan itu.

Hujah ini katanya, turut disokong bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz Baz yang merujuk hadis Nabi Muhammad SAW mengenai balasan pahala golongan sakit atau musafir.

Dua kelompok itu yang mengerjakan kembali perbuatan puasa tersebut ketika tidak uzur atau bermukim akan turut mendapat ganjaran serupa kerana Allah adalah bersifat Pemberi Taufik.

Justeru, mereka merumuskan amalan berkenaan masih lagi menerima pahala sama seperti berpuasa setahun kerana fadilat Allah itu Maha Luas dan pemberian-Nya juga tidak terbatas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN