Gagal urus sampah mentaliti kelas ketiga - Utusan Malaysia

Gagal urus sampah mentaliti kelas ketiga

PELBAGAI jenis sampah sarap dibuang pihak tidak bertanggungjawab di sebuah tapak haram yang beroperasi di Ulu Choh, Iskandar Puteri di Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah membangun dan menuju negara maju, sikap rakyat Malaysia yang gagal mengurus sampah dengan cara yang betul memperlihatkan mereka tidak ubah seperti memiliki mentaliti rakyat kelas ketiga.

Di beberapa tempat awam, sampah sarap yang tidak diikat kemas kelihatan bertaburan dan berbau busuk gara-gara dibuang sewenang-wenangnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan mendapati, longgokan sampah masih dibiarkan berselerak di tempat yang tidak sesuai dan dikhususkan terutama di kawasan perumahan, taman awam, jalan raya dan sungai.

Tapak-tapak pembuangan sampah haram itu bermula daripada longgokan kecil menjadi semakin besar berikutan sudah menjadi kebiasaan orang ramai untuk melakukan pembuangan di situ.

Namun, penduduk setempat pula mengadu lokasi itu tidak menyenangkan di samping pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menjalankan kutipan sampah di lokasi pelupusan haram itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Abdul Malek Yusof mengakui berlakunya lambakan tapak pembuangan sampah haram di seluruh negara.

Katanya, ini kerana statistik di Negeri Sembilan menunjukkan sebanyak 117 kawasan tompok panas (hot spot) pembuangan sampah haram yang masih aktif dikesan membuktikan lagi jumlah yang sama atau lebih boleh dikesan di negeri lain.

Jelasnya, kawasan pembuangan sampah haram itu dipercayai berleluasa terutamanya selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pembuangan di tapak pembuangan haram kebanyakan berlaku di pusat-pusat bandar berbanding di luar bandar. Masyarakat di bandar dan pusat yang padat kebanyakan tak jaga sikap, jadi ini sebab masalah jadi besar terutama bila banyak sikap masyarakat yang suka longgok sampah.

“Tetapi ini mungkin juga sebab tapak yang dikhususkan itu tidak sampai di tempat sasaran dan berjauhan daripada penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Malek bagaimanapun tidak menolak penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berkuasa terutamanya PBT menjadikan budaya itu semakin berleluasa.

Katanya, ini kerana masih belum adanya sebarang tindakan yang diambil kepada individu mahupun masyarakat setempat yang membuang sampah merata-rata.

“Kita selalu ajar anak-anak supaya jangan buang sampah merata-rata, jadi bila mereka buang sampah merata-rata di sekolah, mereka boleh dikenakan denda oleh guru-guru.

“Tetapi kalau masyarakat buang apa tindakan penguat kuasa? Sepatutnya kenakan denda, bukannya tak ada apa-apa seperti sekarang dan itu yang menambahkan lagi budaya membuang sesuka hati ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md Yusof berkata, masyarakat masih lagi kurang dalam ilmu pengetahuan tentang tanggungjawab terutamanya berkaitan penjagaan alam sekitar.

Justeru katanya, pembudayaan ilmu dan kesanggupan politik daripada kerajaan perlu diterapkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung penjagaan alam.

Jelas Mohd. Yusaimi, kefahaman merentasi agama juga penting bagi membolehkan masyarakat bertanggungjawab tanpa mengira agama masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN