Gagal seludup rokok, penyeludup lari tinggalkan bot

Gagal seludup rokok, penyeludup lari tinggalkan bot

Larangan penjualan rokok dan vape dibimbangi meningkatkan aktiviti penyeludupan rokok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cubaan dua individu menyeludup rokok menggunakan bot di perairan daerah ini gagal selepas kegiatan mereka dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membuat rondaan di sekitar Sungai Kuantan, di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata,  pihaknya menahan bot itu  kira-kira pukul 1.35 pagi di kedudukan 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan.

“Bot samaran  dinaiki  tiga anggota Maritim Malaysia Pahang yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan bersama dua suspek bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.

“Sebaik sahaja dirapati, bot suspek memecut laju ke hulu Sungai Kuantan dan meninggalkan bot gentian kaca  terbabit dengan meloloskan diri di celahan hutan bakau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 35 peti berisi rokok tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok dianggarkan bernilai RM105,000 termasuk cukai dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN