BUTTERWORTH: Pengeluaran tanaman buah durian untuk musim tahun ini dilihat memberangsangkan meskipun faktor cuaca tidak menentu melanda di Pulau Pinang dan Perak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, hal ini menunjukkan harga jualan bagi buah durian jenis Musang King dilihat menurun sehingga RM30 sehingga RM35 sekilogram berbanding sebelum ini yang dijual sekitar RM50 sehingga RM70 sekilogram.
“Sebelum ini, kita menjangkakan pengeluaran buah durian untuk musim kali ini adalah berkurangan berbanding pada tahun-tahun sebelumnya berikutan faktor cuaca.
“Namun, jangkaan tersebut meleset kerana kita dapati (pengeluaran durian) banyak di pasaran dan dijual pada harga yang lebih murah,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Penang Fama Fest 2022 di sini, hari ini.
Ahmad berkata, peningkatan pengeluaran durian pada musim ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati raja buah itu khususnya jenis Musang King yang disifatkan premium seterusnya mampu membantu melonjak ekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata, program Fama Fest 2022 yang diadakan selama lima hari bermula semalam bertujuan membantu menambah ruang pasaran kepada para usahawan memasarkan produk agromakanan mereka.
“Pembukaan ruang pasaran ini kepada usahawan dan pengunjung merupakan usaha berterusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menunjukkan tahap sekuriti makanan negara terjamin,” katanya.
Tambah beliau, para pengunjung ditawarkan pelbagai pilihan produk agromakanan yang boleh didapati menerusi Jualan My Rakyat dan Jualan Terus Dari Ladang dengan penawaran penjimatan sehingga 10 peratus dari pasar-pasar awam berdekatan.
“Bagi program kali ini kita menyasarkan seramai 50,000 kehadiran dengan nilai jualan sebanyak RM500,000 sepanjang lima hari program berlangsung,” katanya.
Sementara itu beliau menambah, pihaknya komited melaksanakan projek keusahawanan melalui pembinaan Pasar Tani Kekal (PTK) yang terletak di Seberang Jaya.di sini yang dijangka siap sepenuhnya September ini.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 45 usahawan PTK Seberang Jaya dan kita menjangkakan peningkatan nilai jualan peserta sebanyak 30 peratus,” katanya.
Tambah beliau, selain PTK Seberang Jaya terdapat empat lagi lokasi PTK yang masih di dalam pembinaan iaitu di Kampung Gajah, Perak; Felda Palong, Negeri Sembilan; Kuala Krai, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak. –UTUSAN










