Eddin Syazlee juga sesuai ganti Zuraida - Utusan Malaysia

Eddin Syazlee juga sesuai ganti Zuraida

EDDIN Syazlee Shith
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini menimbulkan spekulasi siapa pula yang akan menggantikan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beberapa nama dalam kalangan pemimpin Bersatu sudah disebut-sebut akan menggantikan Zuraida memandangkan kedudukannya sebagai menteri adalah atas kuota parti itu.

Di Negeri Sembilan, timbul juga nama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith yang dianggap antara calon sesuai menggantikan Zuraida.

Menurut sumber kepemimpinan kanan Bersatu Negeri Sembilan, Eddin Syazlee yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah dan juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, boleh dipertimbangkan untuk jawatan tersebut berdasarkan pengalaman selain keperluan untuk mengukuhkan Bersatu di negeri ini.

“Itu pandangan yang boleh diketengahkan termasuk bagi mengukuhkan pengaruh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan. Lagipun Eddin Syazlee merupakan satu-satunya ahli Parlimen Bersatu dan PN yang ada di Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada kuasa prerogatif Perdana Menteri dan juga bagaimana perbincangan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kami menghormati segala keputusan itu nanti demi parti dan perjuangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut sumber itu, pengalaman Eddin Syazlee sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan di dua buah kementerian juga antara kelebihan yang ada pada Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan itu untuk dilantik ke jawatan tersebut.

“Itu juga antara kelebihan yang ada pada beliau tanpa kami menafikan terdapat kepemimpinan yang lain juga mempunyai pengalaman mereka yang tersendiri,” katanya.

Ketika pentadbiran PH yang lalu, Eddin Syazlee dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Beliau kemudiannya dipilih sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan seterusnya sebagai Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) di bawah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Baru-baru ini Muhyiddin berkata, beliau akan mengemukakan satu nama baharu kepada Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan tempat Zuraida.

Beliau berkata, ia memandangkan kedudukan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota parti itu dan keahlian Ahli Parlimen Ampang itu gugur serta-merta selepas membuat pengumuman untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya