PETALING JAYA: Punca kematian dua sahabat yang ditemukan maut dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan meletak kenderaan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Ahad lalu dipercayai bukan bunuh diri.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, punca kematian kedua-dua mereka setakat ini masih belum dapat dipastikan.
Katanya, siasatan polis juga tidak mendapati ada unsur jenayah dalam kes tersebut dan beberapa spesimen tertentu telah dihantar ke jabatan kimia.
Menurut beliau, kenderaan Toyota Alphard yang ditemukan pula dipercayai milik bapa salah seorang yang maut.
Kata beliau, kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai diletakkan di kawasan kondominium itu kerana tempat letak kenderaan itu tidak berbayar.
“Kawasan aras bawah (basement) tempat letak kenderaan itu lengang dan tiada kenderaan lain.
“Kedua-dua mangsa iaitu remaja lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 tahun merupakan sahabat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Muhammad Idzam, ketika ditemukan, kedua-dua mayat lengkap berpakaian.
Sementara itu, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, hasil rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kenderaan yang dinaiki kedua-dua masuk ke kawasan tempat letak kenderaan berkenaan pada kira-kira 11 malam 24 Mei lalu.
“Bau busuk di kawasan berkenaan telah membawa kepada penemuan kedua-dua mayat dalam kenderaan berkenaan Ahad lalu,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan mayat kedua-dua remaja berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia antara empat atau lima hari lalu.
Penemuan mayat itu telah berjaya merungkai laporan kehilangan kedua-dua remaja berkenaan yang masing-masing dibuat oleh ahli keluarga mereka di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 8.26 malam.
Hasil siasatan menemukan mayat seorang wanita tempatan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki tempatan masing-masing di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan.
Pemeriksaan pada badan kedua-dua mayat itu serta lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). –UTUSAN










