Dua remaja dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air

Dua remaja dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air

KAWASAN sungai mangsa dihanyutkan kepala air di Kampung Timpangoh, Penampang semalam.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Aktiviti mandi-manda sekumpulan remaja berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dihanyutkan kepala air di sungai berhampiran Kampung Timpangoh petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, enam remaja berusia 17 tahun itu difahamkan sedang mandi di sungai berkenaan sebelum dua daripada mereka dihanyutkan manakala, empat lagi terperangkap di sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Zeno Tingalan berkata, dua mangsa hilang dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST. Michael.

Setakat 11 pagi tadi, kedua-dua mangsa belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan sehingga jarak lima kilometer dari kawasan mangsa dihanyutkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.10 petang dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati empat mangsa terperangkap di sungai manakala, dua rakan mereka telah dihanyutkan kepala air dan dikhuatiri lemas.

“Anggota bomba kemudian menyelamatkan empat mangsa yang terperangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi SAR yang bermula petang semalam disambung semula pada pagi tadi.

“Hari ini, kita perluaskan operasi SAR sehingga ke kawasan Sungai Moyog dan Kampung Kasigui,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semasa kejadian, kawasan sungai tersebut belum lagi hujan namun, kawasan bukit dipercayai telah mula hujan hingga menyebabkan kepala air turun terlebih dahulu dan menghanyutkan mangsa.

Jelas beliau, operasi SAR yang dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan air yang ditangguhkan pada pukul 10.45 malam disambung semula pada pukul 6.25 pagi tadi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN