PENAMPANG: Dua pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Michael yang dihanyutkan kepala air semasa mandi-manda di sungai Kampung Timpangoh ditemukan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Zeno Tingalan berkata, mangsa terakhir dikenali sebagai Thomas Olaf,17, ditemukan pada pukul 11.04 pagi tadi manakala, mangsa pertama iaitu Harold Walter, 17, ditemukan pada pukul 2.45 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa pertama ditemukan oleh orang awam di kawasan Kampung Pagansakan pada jarak tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hanyut.
Sementara itu, mangsa terakhir ditemukan di Sungai Moyog iaitu pada jarak 300 meter dari pos kawalan kedua pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selama tiga hari ditamatkan pada pukul 11.15 pagi tadi.
Kedua-dua mangsa lelaki itu dilaporkan melakukan aktiviti mandi-manda di sungai Kampung Timpangoh bersama empat rakan lain kira-kira pukul 1 petang sebelum kedua-dua mangsa dihanyutkan kepala air kira-kira pukul 4.10 petang Sabtu.
Empat mangsa yang terperangkap di sungai berjaya diselamatkan pasukan bomba manakala, dua mangsa dilaporkan hilang akibat dihanyutkan kepala air. –UTUSAN










