Dua pegawai perakam SPRM beri keterangan berbeza

Dua pegawai perakam SPRM beri keterangan berbeza

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi dua keterangan berbeza di Mahkamah Sesyen di sini berkaitan rakaman percakapan seorang ahli perniagaan dalam kes rasuah Lim Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Penolong Penguasa, Mohamad Hambia, 29, berkata, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng mengaku berasa selesa ketika percakapannya dirakam sebanyak dua kali masing-masing pada 22 dan 24 Julai 2020 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendram pada sesi pemeriksaan utama hari ini, Mohamad berkata, rakaman percakapan itu memenuhi syarat di bawah Seksyen 30 (8) Akta SPRM.

Menjawab soalan balas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi pendakwaan ke-27 itu memberitahu, mendiang Swee Kheng juga tidak kelihatan takut atau membuat aduan beliau berada dalam ketakutan ketika sesi rakaman percakapan dijalankan.

Bagaimanapun, pada 23 Mac lalu, seorang lagi pegawai perakam, Penolong Penguasa Muhammad Nazree Mansor, 32, memberitahu, mendiang Swee Kheng pernah meluahkan kebimbangan kepada SPRM berhubung keselamatannya ekoran pendedahan beliau ketika siasatan kes rasuah Guan Eng.

Mahkamah ketika itu juga diberitahu, mendiang bagaimanapun menolak tawaran SPRM untuk dilindungi oleh pihak berkuasa sebagai saksi kerajaan walaupun risaukan keselamatannya.

Ketika membacakan rakaman percakapan ahli perniagaan itu di mahkamah, Mohd. Nazree menyatakan, mendiang menyifatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai individu yang `tidak boleh disentuh’ (untouchable).

Swee Kheng, 53, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, bagaimanapun ditemukan maut selepas terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober 2021 selepas ditemukan di bahagian bawah kondominiumnya manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.

Pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes itu.

Pada perbicaraan hari ini, Mohamad selanjutnya berkata, mendiang Swee Kheng dalam percakapannya juga memberitahu, Guan Eng dan ahli keluarganya tidak pernah membeli unit kediaman di City of Dreams.

Sebaliknya, Muhammad Nazree sebelum ini memaklumkan, Swee Kheng pernah mendedahkan kepadanya beliau berjanji memberikan beberapa unit kediaman kepada Guan Eng sebagai balasan jika tertuduh membantu syarikatnya, EZSB meneroka tanah-tanah kerajaan yang telah ditambak untuk membangunkan projek perumahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Jun ini.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.