KLUANG: Dua orang maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Besar Simpang Renggam – Machap,dekat sini malam tadi, kira-kira 8 malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu ialah pemandu Proton Satria, Mohamad Afiq Karim, 25, dan penumpangnya yang belum diketahui identiti.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan Il Affendi Mustafar berkata, kemalangan menyebabkan kereta mereka remuk dan memerlukan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Kata Affendi, dua lagi pemandu kenderaan lain yang cedera masing-masing berusia 23 tahun dan 56 tahun yang memandu lori serta kereta jenis Perodua Kembara. – UTUSAN










