PUTRAJAYA: Individu dikenali The Hood Man menyifatkan dakwaan Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) bahawa dia merancang semua pendedahan berhubung isu keraguan status halal di pusat penyembelihan Thomas Food International (TFI) di Lobethal, Australia tidak masuk akal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, lelaki berkenaan yang juga dikenali Abdullah berkata, apatah lagi membuat tuduhan tidak berasas bahawa dia menerima sogokan semata-mata bagi menjatuhkan reputasi badan pensijilan halal luar negara itu yang bertanggungjawab menyelia rumah sembelihan berkenaan.
Justeru, dia mempersoalkan jika benar ia merupakan satu perancangan bersama pihak ketiga, bagaimana SICHMA boleh mengesahkan rumah sembelihan TFI itu melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan selepas badan tersebut menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
Ia sekali gus membuktikan insiden bagaimana haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah benar-benar berlaku biarpun ketika audit mengejut itu dilakukan, dia telah pun dibuang kerja pada 22 April dan tidak lagi bekerja di situ.
“SICHMA cuba menafikan isu besar yang disahkan sendiri pihaknya bahawa ia benar berlaku tetapi menuduh saya telah disogok. Buktikan dalam apa jua cara saya menerima bayaran.
“Jika benar sekalipun saya secara sengaja menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan membiarkan haiwan lemas dalam takungan darah, adakah saya sempat berbuat demikian sedangkan saya perlu menyembelih ribuan haiwan dalam masa singkat.
“Saya lakukan semua ini demi menyelamatkan umat Islam yang tidak bersalah daripada memakan daging haram. SICHMA tidak mahu menangani isu ini atau mengakui kesilapan mereka tetapi menuduh orang lain pula membuat fitnah melalui pendedahan ini,” katanya di sini semalam.
SICHMA dalam kenyataannya semalam mendakwa The Hood Man dibayar pihak ketiga bagi mencipta isu berkenaan secara sengaja bagi tujuan tertentu sebagaimana dalam siasatan pihaknya menerusi keterangan daripada rakan sekerja lelaki terbabit.
Menurut SICHMA, The Hood Man didapati bekerja sebagai pemeriksa halal pada hari kejadian berlaku di rumah penyembelihan itu, namun dia didapati tidak menasihati SICHMA atau majikannya tentang sebarang salah laku pada hari tersebut.
Dalam hal itu, Abdullah berkata, dia telah membuat aduan secara konsisten kepada pihak SICHMA sejak hari pertama insiden itu berlaku termasuk menghantar empat gambar sebagai bukti kepada wakil SICHMA di TFI.
Pada ketika itu, jelasnya, wakil SICHMA pernah mengarahkan dia menghentikan rantaian pengeluaran ketika kejadian takungan darah itu berlaku, tetapi pihak penyelia TFI mempersoalkan pula kenapa dia menghentikan proses itu.
Tidak lama kemudian rantaian diteruskan selepas ‘perbincangan’ bersama antara penyelia TFI dan SICHMA tanpa memperbetulkan keadaan dan tetap menghasilkan daging haram sebagai halal dengan pengetahuan penuh SICHMA dan TFI seolah-olah kejadian itu tidak diendahkan dan sengaja dilupakan.
“Saya mempunyai bukti bahawa mereka telah dimaklumkan tepat pada masanya melalui tangkap layar teks perbualan mesej antara saya dan wakil SICHMA di kilang TFI.
“Saya juga telah beberapa kali melaporkan kepada wakil baharu SICHMA yang dilantik selepas itu mengenai pelanggaran protokol halal, dan dia juga tidak mengendahkan kebimbangan saya, saya tidak mempunyai pilihan lain selain mendedahkan kepada umum.
“Saya juga pernah diancam secara lisan hilang kerja selepas mereka mengetahui bahawa saya adalah pemberi maklumat dan merakam gambar, namun saya dihukum dibuang kerja,” katanya.
Abdullah turut mempersoalkan bagaimana SICHMA boleh mempercayai pendedahan dari rakan sekerja bahawa dia dibayar sedangkan pekerja itu seorang pemabuk dan tidak mengamalkan Islam dengan betul seperti meminum arak ketika sedang melaksanakan kerja menyembelih dan tidak berpuasa.
Dia berkata, lelaki itu pernah ‘dihantar’ oleh SICHMA untuk memujuknya supaya menghentikan keseluruhan pendedahan integriti halal ini selain menawarkan kerja yang lebih baik termasuk habuan wang demi menutup mulut.
“Jika benar lelaki pemabuk itu mendakwa saya membuat sabotaj, mengapa dia tidak membuat laporan segera kepada SICHMA dan TFI?
“Dalam keengganan saya untuk menerima rasuah dan tawaran mereka, mereka bekerjasama untuk membuat pembohongan dan dakwaan palsu terhadap saya,” katanya. – UTUSAN










