Dadah: 'Cuba berhenti tetapi tiada sokongan keluarga' - Utusan Malaysia

Dadah: ‘Cuba berhenti tetapi tiada sokongan keluarga’

RIZAL (kanan) berbual bersama Khalid Hashim (kiri) ketika ditemui di rumah penjagaan dan rawatan Casa Villa dikendalikan Komited Malaysia di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setiap ahli keluarga penagih dadah perlu diberikan kaunseling supaya mereka dapat menerima anak dan adik-beradik yang terlibat dengan bahan terlarang tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penagih dalam pemulihan dikenali sebagai Rizal, 57, berkata, selama 40 tahun terbabit dengan kegiatan penagihan dadah, dia beberapa kali cuba berhenti, namun tidak mempunyai kekuatan diri selain tidak mendapat sokongan terutama daripada keluarga.

“Saya mempunyai 10 adik-beradik yang semuanya terpelajar, ada guru dan pensyarah tetapi semuanya tidak dapat terima saya kerana terlibat dadah.

“Jadi, bagaimana kami hendak berubah? Ahli keluarga sendiri pun tidak menyokong dan membantu. Sebenarnya jiwa mereka yang terlibat dadah terutama jenis heroin cukup sensitif dan memerlukan kasih sayang terutama daripada keluarga.

“Keluarga sendiri pun menolak kami belum lagi ambil kira pandangan masyarakat. Jadi, bukan sahaja penagih perlu dikaunseling, ahli keluarga juga perlu dikaunseling,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia masih gagal mengekang ancaman dadah walaupun telah 39 tahun melawan musuh nombor satu negara itu dengan peruntukan besar sehingga RM800 juta setahun diberikan kepada agensi yang diberi tanggungjawab untuk menanganinya.

Presiden dan pengasas Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim dilaporkan berkata, walaupun memiliki pusat serenti terbanyak di dunia dan penguat kuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan tanggungjawab, namun kedudukan negara masih di takuk lama.

Kata Khalid, peningkatan jumlah penagih dan rampasan dadah setiap tahun membuktikan Malaysia masih gagal melawan musuh nombor satu negara itu walaupun kerajaan telah mengisytiharkan bahan terlarang tersebut sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983.

Rizal berkata, dia mula terlibat dengan dadah pada usia 17 tahun bermula dengan minuman beralkohol dan ganja.

“Selama tempoh 40 tahun terlibat dadah, 14 kali saya masuk penjara antaranya Penjara Pudu, Kajang, Bandar Hilir dan Penor. Dua kali masuk pusat serenti dan dua kali masuk Pusat Rawatan Penagih Dadah (CNC) dikendali kerajaan.

“Selain itu, 10 tahun saya masuk pondok inabah, tujuh tahun di Terengganu dan tiga tahun di Negeri Sembilan. Saya mula cari pemulihan bermula 1992, namun masih tidak dapat lari daripadabahan terlarang ini, salah satu faktor tiada sokongan ahli keluarga yang menolak saya,” katanya.

Jelas bapa kepada dua anak itu, dia kini nekad untuk pulih dan bebas dari dadah dan sedang mengikuti proses pemulihan dikendalikan Komited Malaysia.

“Pelbagai tempat saya cuba untuk pulih bermula 1992, namun gagal. Kini saya baru seminggu bersama Komited Malaysia. Demi dua anak, saya nekad tidak mahu lagi terlibat dengan dadah.

“Saya memilih Komited Malaysia kerana selepas pelbagai tempat saya pergi, saya percaya hanya mereka yang kenal penagih boleh bantu kami untuk berubah.

“Mereka di Komited Malaysia juga adalah bekas penagih dan mereka tahu cara untuk bantu kami pulih kerana mereka faham jiwa kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya