Cukai Makmur bantu rakyat hadapi inflasi - Utusan Malaysia

Cukai Makmur bantu rakyat hadapi inflasi

RAKYAT mula bimbang dengan keadaan semasa yang boleh meningkatkan inflasi, sekali gus membebankan pengguna. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu agresif mencari penyelesaian jangka pendek bagi membantu rakyat menghadapi inflasi di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, mengenakan Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi harus diketengahkan kerana ia dapat membantu kerajaan menampung subsidi minyak masak yang diberikan kepada rakyat.

“Senario ini sama seperti Cukai Makmur yang dikenakan kepada syarikat seperti Top Glove yang menjana keuntungan berlipat kali ganda disebabkan permintaan sarung tangan getah yang melonjak ketika penularan Covid-19 di seluruh dunia.

“Justeru, syarikat yang mendapat ‘durian runtuh’ daripada keadaan semasa seperti perusahaan kelapa sawit serta, minyak dan gas yang memanfaatkan kenaikan harga global dan pihak bank dicadangkan membayar Cukai Makmur supaya dapat disalurkan kepada rakyat sebagai langkah jangka pendek.

“ Apa yg penting, cukai yang dikutip oleh kerajaan digunakan untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.

Keputusan itu dijangka menyebabkan inflasi makanan melonjak dalam situasi harga komoditi global yang lebih tinggi. Sekiranya bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin menyentuh puncak baharu iaitu pada 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan memansuhkan subsidi tersebut, Aimi Zulhazmi berkata, reaksi spontan pasaran pasti akan berlaku kenaikan harga dalam waktu terdekat, kerana penternak tidak lagi dibayar subsidi oleh kerajaan.

Ujarnya, kos sedia ada akan dipindahkan kepada pengguna serta merta kecuali para penternak mempunyai margin yang tinggi dan mampu menyerap kos pengeluaran atau operasi mereka sendiri. 

“Mungkin untuk jangka panjang ia adalah strategi yang baik kerana harga ayam dan telur dapat distabilkan selepas kejutan kenaikan permulaan. Namun, pengusaha sememangnya terdedah kepada risiko kenaikan harga makanan ayam, di mana 60 peratus dibuat daripada bijirin jagung yang diimport. 

“Selagi makanan ayam masih lagi diperbuat daripada bahan yang diimport, maka harga ayam dan telur tidak dapat dikawal sepenuhnya kerana ia bergantung kepada faktor luaran,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, kerajaan mestilah mempunyai strategi untuk membina rantaian nilai industri ini yang membolehkan ia dikawal di peringkat domestik.

“Sebagai contoh, perlu bangunkan sepenuhnya alternatif jagung sebagai bahan utama makanan ternakan dengan menggunakan bahan tempatan seperti kelapa sawit yang banyak terdapat di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya