PETALING JAYA: Cuaca panas mencecah lebih 47 darjah celsius di Madinah tidak melunturkan semangat jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah selepas dua tahun penangguhan ekoran pandemik Covid-19.
Meskipun berdepan perubahan suhu ketara, rata-rata jemaah negara ini tidak menghadapi masalah hasil kerjasama daripada jemaah warga Malaysia dan bantuan petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di sana.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang jemaah haji kumpulan pertama yang tiba di Madinah, Umi Kalsom Hussin, 34, dari Ampang, Selangor, berkata, cuaca panas bukan penghalang kepada jemaah melakukan ibadah.
“Pada hari pertama kami tiba, tidak ramai jemaah yang berada di sekitar masjid dan keadaan agak lengang. Kemudian semakin hari, semakin bertambah jemaah dari negara lain yang tiba seperti Pakistan, Indonesia dan India.
“Alhamdulillah, pihak Tabung Haji juga telah memberi taklimat-taklimat penting untuk para jemaah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Umi Kalsom, anak-anaknya yang berada di Malaysia menjadi sumber kekuatan kepadanya meneruskan ibadah haji dengan hati yang tenang.
“Buat masa sekarang, setiap hari saya dan suami membuat panggilan video kepada ahli keluarga memaklumkan tentang keadaan kami.
“Berdepan cuaca panas, kami mengamalkan minum air secukupnya. Hubungan bersama semua jemaah haji Malaysia sangat baik seolah-olah sebuah keluarga kerana saling bantu-membantu,” katanya.
Sementara itu, seorang pensyarah, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh, 42, teruja dan seperti tidak percaya dapat menjejakkan kaki ke tanah suci setelah sekian lama menantikannya walaupun terpaksa berhadapan cuaca panas.
“Keberadaan saya di sini digunakan sepenuhnya untuk beribadah sepenuhnya, dengan izin-Nya. Apabila berada di Raudhah, Masjid Nabawi, saya berasa tersentuh dan bersyukur kepada tuhan kerana ‘dipilih’ berada di sini,” katanya. – UTUSAN











