Co-opbank beri anggota peluang tambah saham

Co-opbank beri anggota peluang tambah saham

BAHAROM Embi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) membuka peluang kepada anggota sedia ada  menambah jumlah saham di bank koperasi berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, penambahan modal syer itu dibuka sehingga modal syer anggota CBP mencapai RM1 bilion dan mereka perlu memanfaatkan peluang terhad tersebut.

“Tambahan modal syer ini hanya dibuka kepada anggota CBP sedia ada atau yang berdaftar sebelum 1 Jun 2022 untuk membuat penambahan syer bagi anggota individu had maksimum sebanyak RM50,000 termasuk baki sedia ada. 

“Sementara itu, bagi anggota koperasi pula, had maksima ditetapkan adalah RM100,000 termasuk baki syer sedia ada. 

“Manakala untuk anggota atau pelanggan yang mendaftar dan berada dalam senarai menunggu sehingga 30 April 2022, surat tawaran untuk penambahan syer atau menjadi anggota akan diedarkan CBP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. 

Menurut Baharom, keanggotaan baharu masih lagi dibuka di beberapa cawangan baharu secara walk-in, tetapi had modal syer yang dibenarkan adalah kekal berjumlah RM5,000 untuk individu dan RM10,000 untuk koperasi. 

Katanya, pengumuman dividen akan dibuat dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan dan persetujuan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan anggaran dividen yang dicadangkan adalah sebanyak 6.1 peratus. 

“Kita mencadangkan pembayaran dividen kepada SKM dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan daripada suruhanjaya ini. 

“Kadar dividen yang dicadangkan kepada SKM adalah kompetitif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lalu,” katanya.

Baharom menambah, bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021, CBP merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM86.156 juta berbanding RM84.15 juta pada tahun sebelumnya.

“Jumlah peningkatan keuntungan ini adalah sebanyak 2.4% ini adalah hasil daripada tawaran produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan CBP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pelan Strategik 5 tahun ‘Aspirasi CBP-5’ pada 31 Mei lalu diperkenal menerusi lima fokus strategik utama bagi memastikan kelestarian CBP bergerak sebagai bank koperasi dalam persekitaran dinamik. 

Katanya, lima fokus itu termasuk Kepelbagaian perniagaan dan pendapatan, peningkatan kecekapan operasi, pengukuhan pemantauan dan kawalan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Pelan strategik ini akan dijadikan sebagai garis panduan bagi memastikan CBP berada pada landasan yang betul serta memastikan produk dan perkhidmatan CBP setanding dengan institusi kewangan lain.

“Antara sasarannya adalah aset CBP mencapai jumlah aset sebanyak RM15 billion, baki pembiayaan RM10 billion dan bilangan anggota seramai 150,000 anggota.

“Menerusi pelan strategik ini, setiap jabatan akan merancang dan bergerak berdasarkan fokus strategik yang telah diperkenalkan di dalam melonjakkan jenama CBP sebagai bank koperasi terunggul menjelang 2026,” jelasnya. 

Sementara itu, CBP juga merancang  membuka lebih banyak lagi cawangan ke seluruh negara bagi meningkatkan capaian pelanggan baharu dan meningkatkan pendapatan melalui pelbagai produk dan perkhidmatan baharu. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya