‘Cinta palsu’ kekasih warga asing jerat kerugian RM25 juta - Utusan Malaysia

‘Cinta palsu’ kekasih warga asing jerat kerugian RM25 juta

JANGAN mudah terperangkap dengan tipu daya melalui internet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mangsa penipuan cinta di negeri mengalami kerugian sehingga RM25 juta ditipu kekasih warganegara asing yang dikenali di media sosial sejak awal tahun hingga kini dengan peningkatan kepada 1,047 laporan polis dalam tempoh itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, peningkatan kes ‘love scam’ itu direkodkan berbanding 934 laporan polis yang dibuat dalam tempoh sama pada tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM14.5 juta.

Katanya, mangsa begitu mudah terjerat dengan penipuan tersebut sedangkan pelbagai cara dan nasihat telah diberikan dan disampaikan menerusi media elektronik dan media cetak.

“Kebanyakan mangsa tertipu apabila dituntut untuk melakukan transaksi pemindahan wang melalui pelbagai akaun berbeza kepada orang sama. Lebih mengejutkan, keldai akaun digunakan suspek itu dapat dikesan sekiranya melakukan semakan Semak Mule di ccid.rmp.gov.my. Malangnya, mangsa tidak berbuat demikian.

“Selain itu, mangsa yang menyamar sebagai lelaki asing dari Jepun, Hong Kong dan Jerman hanya menggunakan akaun bank di negara ini. Logik mengaku duduk di luar negara tapi menggunakan akaun tempatan? Ini tak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Rendah Polis Kontinjen Johor sesi 2/2022 melibatkan seramai 118 anggota di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sindiket itu dipercayai didalangi warga tempatan menyamar sebagai warga asing yang berkerjaya bagi memperdaya mangsa untuk memindahkan wang kononnya bagi urusan penerimaan dan penghantaran hadiah selain mengajak mangsa berkahwin.

“Sasaran sindiket ini ialah memperdaya individu kesunyian berusia antara 50 hingga 60-an yang dilakukan menerusi media sosial,” katanya.

Katanya, dalam kes terbaharu, wang simpanan seorang suri rumah berusia 50-an berjumlah RM140,000 lebur apabila diserahkan kepada seorang lelaki dikenali menerusi media sosial akibat terjerat cinta maya.

“Dia menyedari menjadi mangsa penipuan setelah mendapati wang dalam akaun bank berkurangan. Pemeriksaan yang dilakukan anaknya mendapati mangsa telah menjadi mangsa penipuan ‘scammer‘,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan ada pemilik akaun yang sanggup menjadi keldai apabila menjual akaun bank kepada sindiket dengan harga ratusan ringgit.

“Keldai akaun juga boleh didakwa atas penipuan yang berlaku serta berdepan hukuman dan beberapa keldai akaun sudah dikenal pasti untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN