IPOH: Gara-gara cemburu, seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di Teluk Intan di sini ditekap seterika panas selain dipukul sekumpulan pelajar senior dalam kejadian Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipukul oleh sekumpulan 10 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun di asrama sekolah itu antara pukul 12.30 malam sehingga pukul 1 pagi.
Menurut beliau, siasatan mendapati pergaduhan berpunca selepas mangsa didakwa berbual dengan seorang pelajar perempuan yang dikatakan teman wanita kepada salah seorang pelajar senior terlibat.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada suspek membawa mangsa ke bilik asrama suspek dan kemudian memukul mangsa beramai-ramai selain mencederakan mangsa menggunakan seterika panas.
“Mangsa kemudian menghubungi ibunya dan mengadu sakit di bahagiaan pinggang sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, semua suspek kemudian ditahan dan direman empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya cedera akibat didera sekumpulan pelajar senior dalam kejadian di sebuah sekolah di Teluk Intan.
Kejadian itu dikongsi wanita tersebut melalui hantaran di Facebook yang mendakwa perbuatan pelajar senior itu menyebabkan badan anaknya melecur selain mengalami kecederaan dan lebam cedera dipercayai akibat dipukul.
Bapa kepada pelajar tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.- UTUSAN